Siakap Keli
tragedi hari lahir
Kredit: Assawin Pakkawan/ Bangkok Post

Tragedi Hari Lahir, Anak Jadi Saksi Ibu Bapa Maut Ditembak

Tragedi Hari Lahir, Anak Jadi Saksi Ibu Bapa Maut Ditembak

Thailand – Sambutan hari lahir seorang kanak-kanak lelaki bertukar tragedi apabila ibu bapanya maut dalam kejadian tembakan di sebuah restoran di daerah Hatyai pada malam Ahad.

Lebih memilukan, kejadian itu disaksikan sendiri di depan matanya dan juga adik perempuannya.

Menurut Bangkok Post, kejadian tembakan berlaku di restoran Khrua Paowana di Jalan Nuan Kaew Uthit kira-kira jam 10 malam.

Saksi yang berada di tempat kejadian mendakwa bahawa kedua-dua mangsa telah ditembak oleh seorang lelaki yang mengamuk terhadap seorang pelayan restoran.

Sebelum kejadian, lelaki berusia 50 tahun itu datang ke restoran seorang diri untuk minum dan tidak lama selepas itu, dia keluar sebentar dari restoran untuk merokok di tepi jalan. Bagaimanapun, seorang pelayan mengemas mejanya kerana menyangka bahawa lelaki itu telah selesai minum.

Suspek berang apabila melihat tindakan terbabit dan memulakan pertengkaran dengan pelayan dan pemilik restoran. Dia kemudiannya dilihat keluar dari restoran dan memandu sebuah kenderaan.

BACA: Bas Hilang Kawalan Lepas Terlanggar Tayar Lori Tercabut

Pun begitu, lelaki terbabit kemudian kembali semula ke restoran, menyambung pertengkaran, mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan berulang kali.

Akibatnya, dua pelanggan iaitu Sitthipong Siriphan, 48, dan isterinya Orachon Ieankham, 45, maut terkena tembakan di kepala.

Pasangan terbabit telah membawa anak-anak mereka yang masih kecil ke restoran untuk menyambut hari jadi anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun. Kanak-kanak itu tidak cedera tetapi adik perempuannya mengalami luka di kepala.

Manakala, pemilik restoran yang berusia 46 tahun turut cedera selepas terkena tembakan di kepala dan seorang lagi pelanggan berusia 42 tahun ditembak di lengan kanannya.

Suspek telah menyerah diri kepada pihak polis dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

Polis juga menemui lapan kartrij 9mm yang digunakan di tempat kejadian.

Sementara itu, video CCTV yang merakam kejadian itu telah tular di media sosial sejak semalam. Ramai yang bersimpati dengan nasib dua kanak-kanak terbabit, apatah lagi kejadian itu berlaku ketika mereka sedang meraikan hari istimewa.

Sumber: Bangkok Post

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.