Mangsa Terselamat Kongsi Detik-Detik Sebelum Pesawat Terhempas
Semalam dunia dikejutkan dengan tragedi pesawat Azerbaijan Airlines yang dilaporkan terhempas di Aktau, Kazakhstan.
Difahamkan, nahas itu mengorbankan sekurang-kurangnya 38 penumpang, dalam pesawat yang membawa seramai 67 orang, termasuk lima kru.
Kesemua penumpang terdiri daripada 37 rakyat Azerbaijan, enam warga Kazakhstan, tiga dari Kyrgyzstan dan 16 warga Rusia menaiki Embraer 190, dalam perjalanan dari Baku, Azerbaijan ke Grozny.

Menerusi beberapa video tular, menyaksikan kapal berkenaan dilihat menjunam sebelum terbakar dan terhempas.
Sementara itu, sebahagian penumpang turut berkongsi detik-detik cemas sebelum insiden itu berlaku.
Menerusi video tular yang dimuat naik, memaparkan seorang lelaki berkongsi momen-momen video yang dirakamnya.
BACA: Pesawat Terhempas Di Brazil, 61 Orang Terkorban
Penumpang lelaki itu kelihatan tenang termasuk sempat mengucapkan kalimah Syahadah, di samping berkongsi suasana dalam kapal ketika itu.

Dalam klip itu turut memaparkan segelintir penumpang yang sudah memakai topeng oksigen di dalam kabin.
Lelaki itu antara penumpang yang terselamat
Dalam satu perkongsian video di aplikasi X, menunjukkan sosok lelaki berkenaan dipercayai antara penumpang yang terselamat dalam tragedi itu. Video yang dirakamnya memaparkan keadaan sekeliling kapal selepas nahas itu berlaku.
https://x.com/HSajwanization/status/1871988555498602999
Sebelum ini, media melaporkan seramai 29 dilaporkan terselamat dalam insiden tersebut.
“Sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari Baku-Grozny terhempas berhampiran bandar Aktau. Pesawat itu merupakan milik Syarikat Penerbangan Azerbaijan,” kata kementerian pengangkutan Kazakhstan di Telegram.
Menurut Syarikat Penerbangan Azerbaijan, pesawat tersebut cuba melakukan pendaratan kecemasan kira-kira tiga kilometer (1.9 batu) dari Aktau sebelum terhempas di lokasi kejadian.
Pada awalnya, syarikat itu menyatakan punca nahas tersebut disebabkan sekumpulan burung yang melintas, namun menarik balik kenyataan itu.
“Kami tidak dapat mendedahkan sebarang hasil siasatan buat masa ini.
“Semua kemungkinan senario sedang disiasat, dan analisis pakar sedang dijalankan buat waktu ini,” kata pejabat Pendakwa Raya Azerbaijan dalam satu kenyataan.