Siakap Keli
resipi popia sate
Kredit: Che Sayang Kitchen

Resipi Popia Sate, Rangup & Empuk Beraroma  

Resipi Popia Sate, Rangup & Empuk Beraroma  

Petang-petang ni, perut mula berkeroncong minta diisi. Nak makan kuih-muih, tapi tak kenyang. Nak makan nasi, berat sangat pula. Teringin nak makan sate tapi tak ada peralatan nak membakar. Alahai, macam mana nak buat ni?

Apa kata cuba resipi popia sate dari Che Sayang Kitchen ni. Kerangupan kulit popia bergabung dengan isi ayam yang empuk dan penuh aroma ketika digigit, fuh. Semestinya gabungan dua hidangan paling legend di alam melayu. Tak berat sangat, sesuai pula buat santai-santai di petang hari.

Mulakan dengan bahan kisar untuk perapan isi ayam dan daging. Sediakan suku biji bawang besar, dua inci lengkuas, dua inci halia dan dua inci kunyit hidup.

Kredit: Che Sayang Kitchen

Kemudian, anda perlukan empat ulas bawang putih, tiga batang serai, satu sudu makan biji ketumbar dan satu sudu makan jintan manis.

Kredit: Che Sayang Kitchen

Kisarkan kesemua bahan tersebut sehingga lumat. Setelah selesai, perapkan isi ayam dan daging dengan bahan kisar tadi. Sebelum itu, tambahkan satu sudu gula, sedikit garam dan perasa tambahan. Gaulkan semuanya hingga sebati dan perap sehingga 30 minit.

“Lagi lama perap, lagi sedap (rasa) dia,” pesan Che Sayang.

Untuk mula memasak, anda boleh pilih untuk masak isi popia menggunakan api dapur atau air fryer. Jika anda ingin menggunakan air fryer, Che Sayang mencadangkan untuk tetapkan suhu air fryer kepada 180 darjah celcius, selama 12 minit. Sebagai maklumat, suhu dan tempoh ini sesuai untuk isi ayam atau daging yang dipotong kecil-kecil.

Jadi jika isi ayam atau daging dipotong agak besar, anda mungkin perlukan masa yang lebih lama untuk memasak.

Bagi yang ingin memasak menggunakan api dapur pun tiada masalah. Goreng kilas daging atau isi ayam seperti biasa. Apabila daging sudah masak, angkat dan ketepikan dahulu.

Sediakan kulit popia yang telah anda nyahbeku terlebih dahulu. Kemudian, hampar sekeping kulit popia, dan letakkan isi ayam atau daging secara menyerong di suku bahagian kulit popia. Pastikan isi yang diletak tidak terlalu banyak kerana ia akan menyukarkan anda untuk menggulung kulit popia dengan sempurna.

Kredit: Che Sayang Kitchen

Kemudian, lipat tiga penjuru kulit popia ke arah isi dan gulung sehingga hampir ke penghujung kulit popia. Sapukan terlebih dahulu sedikit air di penjuru terakhir kulit popia sebelum habis menggulung.

popia sate
Kredit: Che Sayang Kitchen

Kalau ikutkan, popia sate anda sudah sedia untuk digoreng. Tetapi resipi ini memerlukan anda untuk menggulung popia dengan lapisan kulit popia kedua.

“Kalau anda rasa kulit popia tu nipis, ambil je satu lagi kita buat dua lapis,” pesan Che Sayang.

Sekarang, anda sudah boleh mula menggoreng popia sate dalam minyak yang panas. Tidak perlu goreng terlalu lama kerana isinya sudahpun masak. Popia boleh diangkat apabila kulit popia bertukar keperangan.

Nikmati popia sate bersama kuah kacang, memang surr. Selamat mencuba.

https://www.instagram.com/reel/DElwUdQz-v2/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=MzRlODBiNWFlZA==

BACA: Resipi Pucuk Ubi Rangup, Buat Ratah Gitu Je

Sumber: Che Sayang Kitchen

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: