Resipi Pucuk Ubi Rangup, Buat Ratah Gitu Je
Pucuk ubi sememangnya sinonim dengan hidangan lauk kampung di Malaysia. Selalu kita tengok menu sayur pucuk ubi mesti masak lemak, rendang ataupun tempoyak. Jika kena pada cara masaknya, daun masak dengan elok dan empuk, tidak liat. Daun yang lembut, dimakan bersama kuah tempoyak yang ngam dengan sambal belacan. Pasti membuatkan sesiapa sahaja kecur liur.
Jangan tak tahu, pucuk ubi mempunyai pelbagai khasiat. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pucuk ubi kaya dengan kalsium, vitamin A dan C serta rendah lemak.
Nak tahu, sebenarnya pucuk ubi juga boleh digoreng garing dan sedap dimakan begitu saja. Siapa sangka, sayur boleh dibuat makanan ringan. Pedas-pedas manis bersatu dengan kerangupan pucuk ubi dan ikan bilis. Ikuti perkongsian resipi pucuk ubi rangup seorang pengguna Instagram, Mama Raiqal di bawah.
Bahan utama resipi ini sudah tentulah pucuk ubi. Cuci dan toskan pucuk ubi, kemudian biarkan kering seketika. Sementara itu, boleh sediakan bahan ramuan yang lain.
BACA: Belajar Dari Cef, Ini Rupanya Resipi Coleslaw Yang Sedap & Menjadi
Hiris bawang merah, dan goreng garing.

Kemudian ketepikan. Dengan minyak sama, goreng pula ikan bilis kecil dan ikan bilis tamban. Sebaiknya goreng berasingan kerana kedua jenis ikan bilis ni ambil masa yang berbeza untuk masak. Risau ada yang hangit nanti.
Bila dah garing, angkat dan ketepikan kedua jenis ikan bilis tadi. Akhir sekali baru gorengkan cili kering. Kalau ikutkan resipi Mama Raiqal, pilih cili kering yang jenis pendek-pendek.

Kemudian, masukkan cili kering dan ikan bilis kecil dalam pengisar. Masukkan juga sedikit garam, gula dan penambah rasa. Kisar halus dan boleh ketepikan. Jangan ditambah air pula, kisar kering kesemua bahan ini.
Selepas itu, campurkan pucuk ubi, bawang goreng, ikan bilis tamban bersama bahan-bahan yang dikisar tadi dalam mangkuk atau besen besar.

Gaulkan semua sekali hingga sebati. Pucuk ubi rangup, siap.
Selamat mencuba.
BACA: Resipi Mi Kicap, Makan Dengan Cili Potong Menambah Selera
BACA: Bekalan Anak Di Asrama, Ini Resipi Sambal Cornflakes Anti Lemau