10 Laman Web Paling Kerap Dilayari Rakyat Malaysia Disember 2024
Kemajuan teknologi internet hari ini menyaksikan orang ramai boleh mengakses pelbagai maklumat di hujung jari dengan mudah.
Maklumat-maklumat yang dikehendaki pula diperoleh dengan cukup pantas, dalam kiraan saat, tanpa sebarang masalah.
Malah, teknologi internet juga banyak mengubah tabiat dan cara manusia beraktiviti. Jika dahulu kita perlu menapak ke kedai untuk berbelanja, kini membeli-belah boleh dibuat secara maya dan dalam bilik sendiri sahaja.
Pelbagai perkhidmatan seperti perbankan dan kerajaan juga kini ditawarkan secara dalam talian. Bil-bil utiliti boleh dijelaskan menerusi aplikasi khusus, yang masing-masing ditawarkan oleh syarikat pembekal.
Jadi, tidak berlebihan jika mengatakan bahawa manusia tidak boleh hidup tanpa internet dan internet adalah ‘sahabat’ rapat kepada mana-mana manusia moden.
Ini 10 laman web paling kerap dilayari rakyat Malaysia sepanjang Disember 2024
Baru-baru ini, SimilarWeb telah mengeluarkan senarai laman web-laman web yang kerap dilayari oleh rakyat Malaysia sepanjang Disember tahun lepas.
Di sini, kami ingin berkongsi 10 laman web yang paling kerap dilayari oleh rakyat negara ini yang merangkumi pelbagai segmen.
Antaranya segmen elektronik, media sosial, hiburan, kecerdasan buatan (AI) dan beli-belah dalam talian.
Menurut SimilarWeb, tempat tiga teratas diisi oleh google.com, diikuti oleh youtube.com dan whatsapp.com.
Di tangga keempat pula diisi satu lagi produk Meta iaitu facebook.com manakala shopee.com berada di tangga kelima, mengekalkan kedudukan sebagai platform membeli-belah dalam talian paling popular di Malaysia.
Seterusnya, instagram.com berada di tangga keenam, diikuti oleh tiktok.com di tangga ketujuh dan wikipedia.org di tangga kelapan.
ChatGPT turut tersenarai dalam kedudukan 10 teratas
Laman web model bahasa berasaskan AI, chatgpt.com muncul sebagai laman web kesembilan paling kerap dilayari rakyat Malaysia.
X.com yang dahulunya dikenali sebagai twitter.com melengkapkan senarai 10 laman web paling popular di Malaysia untuk Disember.
Menurut SimilarWeb, kedudukan tersebut tidak banyak berubah berbanding November, terutamanya untuk kedudukan tiga teratas.
BACA: Viral Fasiliti Awam Di Indonesia Rosak, Didakwa Dicungkil Pemburu ‘Koin Jagat’
BACA: Polis Berhak Periksa Telefon Orang Awam Jika Ada Syak Wasangka Munasabah – Razarudin
Sumber: SimilarWeb