Bas Persiaran Bawa 24 Penumpang Dilapor Kemalangan
Sebuah bas persiaran yang membawa 24 penumpang, termasuk pemandu dan kelindan, dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan di Pulau Pinang.
Kejadian berlaku di Kilometer 158.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan dengan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, pada jam 4.16 pagi tadi.
Difahamkan, bas tersebut yang membawa rombongan jemaah surau dari Seremban, sedang menuju ke Sungai Petani, Kedah untuk menyertai program di Murtadha Dakwah Centre (MADAD).
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berada di laluan yang sama.
“Terdapat 23 mangsa, termasuk dua pemandu bas, mengalami kecederaan manakala tiga lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Tindakan anggota ialah melakukan kerja-kerja mengeluarkan kesemua mangsa di dalam bas dan memberi rawatan awal oleh pasukan EMRS. Tiada mangsa tersepit,” katanya.
Tambah jurucakap JBPM, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta St John Ambulance untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dua mangsa dirawat di zon merah, sembilan di zon kuning, dan 12 lagi di zon hijau.
Manakala, mangsa yang tidak cedera telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan.
Dalam pada itu, kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan lebuh raya terbabit.
BACA: 9 Cedera Dalam Pelanggaran 43 Kenderaan Di Korea Selatan
BACA: Warga Malaysia Antara Yang Cedera Insiden Letupan Bom Berhampiran Balai Polis
BACA: 62 Rumah, Masjid Musnah Dalam Kebakaran
Sumber: Astro Awani