Mat Saleh Kongsi Sebab Pilih Malaysia Sebagai “Tempat Bersara”
Malaysia semakin mendapat perhatian dunia, bukan hanya sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Malah, negara ini juga menjadi pilihan warga asing untuk memulakan kehidupan persaraan.
Salah seorang daripadanya ialah Andrew Taylor, seorang warga Amerika Syarikat (AS) berusia 70 tahun.
Beliau menjadikan negara ini sebagai “rumah kedua” sejak 10 tahun yang lalu.
Impian persaraan tidak akan tercapai di AS
Andrew mula berfikir tentang kehidupan persaraannya sejak pertengahan usia 50-an.
Namun, kos hidup yang melambung tinggi di AS terus menjadi cabaran untuk mencapai impian persaraan yang selesa.
“Saya sedar bahawa saya mungkin tidak dapat bersara di Amerika Syarikat, atau saya terpaksa bekerja sehingga berusia 80 tahun,” ujar Taylor.
Keadaan ini memaksanya mencari alternatif lain, dan peluang itu muncul melalui program Malaysia My Second Home (MM2H) melalui bekas pasangannya yang berasal dari Pulau Pinang.
Program ini memberi peluang kepada warga asing untuk menetap di Malaysia, dan Andrew terus nampak potensi besar untuk hidup lebih tenang di sini.
Kehidupan baharu di Malaysia
Andrew pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2015 dan menetap di Pulau Pinang selama tujuh tahun sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2020.
Kini, beliau tinggal di sebuah kondominium dengan sewa RM2,800 sebulan, lengkap dengan kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium.
“Saya boleh melihat Menara Berkembar Petronas dan menikmati pemandangan indah bandar dari rumah saya,” katanya, menggambarkan kepuasan hidupnya di ibu kota.
Apa istimewanya Malaysia?
Salah satu sebab utama Andrew memilih Malaysia adalah kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding AS.
Beliau hanya memerlukan bajet bulanan USD2,500 (kira-kira RM11,500) untuk menampung perbelanjaannya, termasuk sewa rumah, makanan dan insurans kesihatan asas yang cuma RM340 sebulan.
“Saya tidak rasa saya mampu hidup dengan jumlah ini di AS,” jelasnya.
Selain itu, Andrew turut berkongsi tentang rasa selamat yang dinikmatinya di Malaysia.
Sebelum ini, beliau tinggal di kawasan luar Washington D.C., yang sering diganggu dengan bunyi tembakan.
Tidak hanya itu, beliau juga kagum dengan sistem kesihatan di Malaysia. Menurutnya, rawatan perubatan bukan sahaja pantas tetapi juga mampu milik.
Kini, Andrew mengisi masanya dengan menghasilkan video YouTube untuk berkongsi pengalamannya tinggal di Malaysia.
Walaupun berpindah ke negara asing bukan keputusan mudah, Andrew merasakan segalanya berbaloi.
“Keluarga saya fikir saya hanya akan bertahan selama enam bulan. Sepuluh tahun kemudian, saya masih di sini dan tiada niat untuk kembali ke AS,” tambahnya lagi.
BACA: Mat Saleh Terkejut Dengan ‘Gaya Hidup’ Masyarakat Malaysia
BACA: Gadis Jepun ‘Terkejut’, Kongsi Pengalaman Naik Tren Di Malaysia
BACA: Minah Saleh Kongsi Perkara Yang Hanya ‘Masuk Akal’ Di Malaysia
Sumber: Business Insider, Andrew Taylor