Balas Jasa, Bilionair Hadiahkan Wang Tunai Kepada Orang Kampung
China – Individu ke-427 terkaya di dunia, Richard Liu Qiangdong menghadiahkan 10,000 yuan (RM6,138) kepada orang kampung halamannya sebagai tanda terima kasih, lapor South China Morning Post.
Hadiah wang tunai itu diberikan kepada setiap warga kampung yang berusia 60 tahun ke atas. Perkara ini bukan sesuatu yang baharu buat Liu dan penduduk Kampung Guangming, Suqian.
Pemberian ini merupakan aktiviti tahunan Liu bermula pada 2016 apabila dia pulang ke kampung halaman bersama isterinya, Zhang Zetian sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, dia sentiasa terhutang budi dengan penduduk kampung yang pernah memberi sumbangan kepadanya sekitar awal 90-an. Sumbangan berjumlah 500 yuan dan 76 biji telur itu diberikan ketika dia menyambung pelajaran di sebuah universiti di Beijing.
Liu yang kini berusia 50 tahun merupakan pengasas dan pengerusi sebuah laman sesawang e-dagang terkenal di China, JD.com. Liu tersenarai sebagai individu ke-427 terkaya di dunia apabila pada tahun lalu, nilai bersih hartanya berjumlah 49.5 bilion yuan (RM30.6 bilion).
Selain daripada menghadiahkan wang tunai kepada orang kampung, Liu turut memberikan makanan, pakaian dan peralatan rumah bernilai ribuan yuan kepada setiap keluarga.
Salah seorang penduduk kampung, Xu memberitahu mereka menerima perkhabaran tentang kedatangan Liu melalui pihak jawatankuasa kampung pada 8 Januari.
“Jawatankuasa kampung minta kami menghantar salinan dokumen pendaftaran dan kad pengenalan isi rumah. Ia bertujuan sebagai persediaan untuk Liu mengedarkan hadiah,” katanya.
Menurutnya, kedua ibu dan bapanya berusia lebih 60 tahun, menjadikan mereka sekeluarga layak menerima pemberian daripada Liu berjumlah 20,000 yuan (RM90,000).
“Tahun lepas, Liu datang ke kampung kami dan hadiahkan jaket serta makanan. Saya nampak dia dari jarak dekat. Dia seorang yang kacak dan bertenaga. Kami semua berterima kasih kepadanya,” tambah Xu.
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung berusia 71 tahun yang enggan dikenali berkata biarpun Liu tidak memberikan mereka sebarang hadiah pada masa hadapan, dia tetap bersyukur.
“Bukan kewajipan bagi dia untuk buat begitu. Wang dia juga hasil usaha kerja keras dia. Dalam kampung ini ada banyak keluarga. Sumbangannya amat besar terhadap kampung ini. Kami memang tidak akan lupakan dia pada masa hadapan,” ujarnya.
BACA: Labur Lebih RM1 Juta, Lelaki Bina Rumah Shin-chan
Sumber: South China Morning Post, The Independent