Ini Sebab Kebakaran LA Sulit Dipadamkan
Kebakaran di Los Angeles (LA) kini mendapat perhatian dunia susulan dahsyatnya api marak ‘menjilat’ kebanyakan kawasan, meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan keadaan di LA berpotensi memburuk dan memusnahkan keseluruhan kawasan kejiranan.
Malah, ia juga berkemungkinan akan memaksa puluhan ribu penduduk untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
Persoalannya, mengapakah kebakaran hutan di LA sulit dipadamkan meski usaha pemadaman tidak henti dilakukan?
1. Pertumbuhan ‘bahan api’ yang pesat
Tempoh ‘cuaca basah’ pada 2024 yang diikuti oleh tempoh ‘cuaca kering’ menghasilkan “keadaan sempurna untuk kebakaran hutan merebak”, menurut pakar kebakaran hutan dari Pusat Ekologi & Hidrologi UK, Maria Lucia Ferreira Barbosa.
Ini kerana hujan lebat yang berlaku ‘menghidupkan’ pertumbuhan flora dengan sangat banyak, yang kemudiannya berpotensi menjadi bahan api.
Apabila cuaca kering menggantikan hujan, tumbuh-tumbuhan yang telah berkembang ini kering dengan cepat, sekali gus meningkatkan jumlah bahan api yang boleh menyebarkan kebakaran dengan lebih mudah.
Fenomena ini dikenali sebagai “hydroclimate whiplash” yang meningkatkan risiko kebakaran secara drastik.
2. Angin Santa Ana
Selain daripada pertumbuhan bahan api yang pesat, angin kuat yang dikenali sebagai Santa Ana winds juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan kebakaran.
Angin yang sangat kencang ini membawa api dari kawasan pergunungan ke kawasan kediaman yang sudah kering.
Angin tersebut sangat panas dan kering, menyebabkan tumbuh-tumbuhan kehilangan kelembapan dengan lebih cepat.
Dengan kelajuan yang melebihi 160 km/j, api merebak dengan begitu pantas, melangkaui sempadan dan menyebabkan kebakaran merebak dengan sangat cepat.
Dalam sesetengah kes, angin ini boleh menyebabkan kebakaran dengan merosakkan talian elektrik dan mencetuskan api.
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan pasukan penyelamat sedang bersiap-sedia dengan angin kencang Santa Ana yang diramal kembali membadai LA.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, kelajuan angin berkenaan mampu mencapai antara 45 hingga 70 mph dan berterusan sehingga pertengahan minggu.
“Tekanan angin lebih ringan buat masa ini, namun dijangka lebih kencang lewat malam Selasa dan berterusan sehingga petang Rabu,” kata agensi berkenaan melalui X, malam tadi.
Susulan itu, agensi berkenaan turut mengeluarkan Amaran Bendera Merah di kebanyakan kawasan pantai California Selatan.
3. Bara api yang dibawa angin
Angin Santa Ana juga tidak hanya ‘membawa’ api hingga merebak luas, tetapi turut membawa bara api atau firebrands, yang merupakan punca utama kehilangan harta benda dalam kebakaran.
Bara api boleh ‘terbang’ beberapa meter dan mencetuskan kebakaran baru, atau boleh terbang jauh ke beberapa kilometer, memulakan kebakaran baru yang lebih jauh.
Sekiranya bara api ini mengenai beberapa rumah sekali gus, setiap rumah tersebut akan mencetuskan lebih banyak bara api, menyebabkan kesan domino yang sangat sukar dikawal oleh pasukan pemadam kebakaran.
4. Topografi kawasan
LA mempunyai landskap berbukit yang meningkatkan risiko kebakaran.
Api dapat merebak dengan sangat cepat ke atas bukit, terutama sekali jika ia berada di kawasan ngarai (lurah dalam yang bercerun tinggi dan curam) atau jurang yang sukar diakses.
Keadaan ini bukan sahaja mempercepatkan penyebaran api, tetapi juga menyukarkan proses pemindahan penduduk yang ingin menyelamatkan diri.
Sebagai contoh, jalan-jalan sempit di kawasan Palisades menjadikan usaha untuk keluar dari kawasan terbakar lebih mencabar.
5. Perubahan iklim
Perubahan iklim memainkan peranan yang sangat penting dalam kejadian kebakaran besar yang berlaku, termasuk di LA.
Cuaca panas, angin ekstrem, hujan lebat yang mendorong pertumbuhan tumbuh-tumbuhan dan cuaca kering yang melampau semuanya menyumbang kepada kebakaran yang sukar dikawal.
Di barat Amerika Syarikat (AS), termasuk California, kemarau yang berlarutan selama beberapa dekad akhirnya berakhir dua tahun lalu.
Namun, perubahan mendadak antara tempoh basah dan kering dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menyebabkan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan yang sangat banyak. Ini kemudiannya menjadi bahan bakar mudah terbakar seperti tinder.
Kajian oleh kerajaan AS jelas mengaitkan perubahan iklim dengan kebakaran hutan yang semakin besar, terutamanya di kawasan barat negara itu.
“Perubahan iklim, termasuk peningkatan suhu, kemarau yang berpanjangan, dan atmosfera yang lebih kering, telah menjadi faktor utama yang meningkatkan risiko serta skala kebakaran hutan di barat AS,” menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).
BACA: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kebakaran Dahsyat Di LA
BACA: Kebakaran LA: Angin Santa Ana Dijangka Kembali Mengganas
BACA: Ini Sebab Kenapa Air Laut Tidak Digunakan Untuk Padam Kebakaran
Sumber: BBC