Siakap Keli
Pekan terima warisan
Gambar: Havang via The Guardian

Pekan Kecil Ini Terkejut Terima “Warisan” Cecah RM45 Juta

Pekan Kecil Ini Terkejut Terima “Warisan” Cecah RM45 Juta

Sebuah pekan kecil di Normandy, Perancis, yang dikenali sebagai “Thiberville”, menjadi tumpuan apabila mewarisi harta bernilai €10 juta (sekitar RM45 juta).

Menurut laporan The Guardian, warisan itu diberikan oleh seorang lelaki bernama Roger Thiberville, 91 tahun, yang meninggal dunia pada Ogos lalu.

Menariknya, Roger bahkan tidak pernah menjejakkan kaki ke pekan itu. Namun, kekayaannya diwariskan kepada Thiberville semata-mata kerana pekan itu berkongsi nama dengannya.

Difahamkan, Roger berasal daripada keluarga pemilik ladang anggur dan telah mewarisi beberapa hartanah di Paris daripada ibu bapanya.

Sepanjang hayatnya, beliau bekerja sebagai ahli meteorologi dan menjalani kehidupan yang sederhana di Paris.

Namun, apabila beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan waris, nama pekan Thiberville muncul sebagai penerima utama kekayaan beliau.

Menurut Datuk Bandar Thiberville, Guy Paris, wang warisan tersebut adalah lima kali ganda daripada bajet tahunan pekan yang mempunyai populasi sekitar 1,773 orang itu.

“Jumlah ini amat luar biasa dan melebihi jangkaan. Kami masih belum memutuskan bagaimana wang ini akan digunakan,” katanya kepada stesen radio tempatan, France Bleu.

Tambah beliau, pengurusan wang ini akan dilakukan dengan penuh berhati-hati dan bertanggungjawab.

Salah satu keutamaan adalah melangsaikan pinjaman bank sebanyak €400,000 (sekitar RM1.8 juta) yang digunakan untuk membina sekolah rendah baharu di pekan tersebut.

Beberapa cadangan projek juga telah dibentangkan, termasuk menaik taraf sekolah rendah sedia ada, selain membina taman awam lengkap dengan kawasan permainan kanak-kanak.

Selain itu, mereka juga merancang untuk membina gelanggang boules yang dilengkapi panel solar dan padang bola sepak sintetik.

Sebagai sebuah badan awam, Thiberville tidak perlu membayar cukai pusaka, membolehkan mereka menggunakan keseluruhan wang itu untuk kepentingan komuniti, lapor The Guardian.

Abu mendiang disemadi di tanah perkuburan Thiberville

“Monsieur Thiberville tidak menuntut apa-apa balasan atas warisannya, tetapi ini adalah cara kami menghargai jasanya,” tambah Datuk Bandar.

Thiberville sendiri tidak memiliki banyak tarikan utama selain sebuah château abad ke-19 dan bekas kilang reben.

Tarikan terdekat pula hanyalah Basilika Saint Thérèse di Lisieux, yang terletak kira-kira 16 kilometer dari pekan tersebut.

Nasib pekan-pekan berdekatan

Warisan besar ini turut mencetuskan rasa ‘kesal’ di kalangan pekan-pekan kecil berdekatan seperti Le Planquay dan La Chapelle-Hareng.

Ini susulan cadangan untuk bergabung dengan Thiberville sebelumnya telah ditolak oleh ahli majlis pekan-pekan tersebut.

Jika penggabungan itu diluluskan, mereka beranggapan berpeluang berkongsi subsidi dan, mungkin, sebahagian daripada warisan tersebut.

Namun, keputusan itu kini membuatkan Thiberville menjadi penerima tunggal kekayaan luar biasa ini.

BACA: Mat Saleh Kongsi Sebab Pilih Malaysia Sebagai “Tempat Bersara”

BACA: “Kakak dah tak tahan ibu..” Video Ibu Peluk Anak Runtun Hati Orang Ramai

BACA: Detik Mengerikan “Puting Beliung Api” Di LA

Sumber: The Guardian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.