Siakap Keli
Syarikat buru MC palsu
Gambar: Freepik

Syarikat Upah Penyiasat Persendirian Buru Kumpulan Pekerja ‘MC Palsu’

Syarikat Upah Penyiasat Persendirian Buru Kumpulan Pekerja ‘MC Palsu’

Banyak syarikat di Jerman dipercayai mula bergantung kepada khidmat penyiasat persendirian dalam usaha untuk menangani ketidakhadiran pekerja yang kian meningkat.

Difahamkan, mereka bertanggungjawab menyiasat pekerja yang mengambil cuti sakit jangka panjang, memastikan sama ada alasan kesihatan yang diberikan adalah sahih.

Menurut laporan South China Morning Post, tindakan ini dipuji sesetengah pihak sebagai langkah berkesan untuk meningkatkan kecekapan pekerja.

Bagaimanapun, pada sisi lain, ia turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, khususnya di China.

Sebuah agensi penyiasatan, Lentz Group yang beroperasi berhampiran stesen kereta api utama Frankfurt, melaporkan peningkatan mendadak dalam permintaan terhadap perkhidmatannya.

Agensi ini yang pakar dalam menyiasat ‘penipuan’ cuti sakit (MC) kini mengendalikan sekitar 1,200 kes setiap tahun, iaitu dua kali ganda berbanding beberapa tahun lalu, menurut AFP.

Data menunjukkan lonjakan cuti sakit

Data dari agensi statistik persekutuan Jerman, Destatis, menunjukkan bahawa pada 2023, pekerja di Jerman mendapat purata 15.1 hari MC, meningkat ketara berbanding 11.1 hari pada 2021.

Kadar ketidakhadiran yang tinggi ini memberi kesan besar kepada ekonomi negara, menyumbang kepada pengurangan 0.8 peratus KDNK Jerman pada 2023.

Keadaan ini kemudiannya membawa kepada ‘pengecutan’ ekonomi yang lebih meluas.

Sementara itu, laporan daripada penyedia insurans kesihatan TK menyatakan bahawa dalam sembilan bulan pertama tahun 2024, pekerja di bawah liputannya mengambil purata 14.13 hari MC.

Berbanding negara Eropah lain, Jerman mencatatkan kadar ketidakhadiran lebih tinggi, iaitu 6.8 peratus masa bekerja hilang pada tahun 2023.

Faktor yang didakwa menjadi penyebab

Salah satu faktor peningkatan cuti sakit adalah dasar pasca pandemik yang memudahkan pekerja mendapatkan MC melalui panggilan telefon.

Dasar ini, yang diperkenalkan semasa pandemik COVID-19, membenarkan pekerja dengan simptom ringan mendapatkan MC tanpa pemeriksaan fizikal oleh doktor.

Bagaimanapun, pengkritik berpendapat bahawa sistem ini telah disalahgunakan secara meluas, dengan sesetengah pekerja didakwa berpura-pura sakit untuk mengambil kesempatan.

Untuk info, di bawah undang-undang buruh Jerman, pekerja berhak menerima gaji penuh sehingga enam minggu MC setahun sebelum insurans kesihatan mengambil alih untuk membayar manfaat sakit.

Sekali gus, ini menjadikan cuti sakit jangka panjang satu beban besar kepada syarikat.

Peranan penyiasat persendirian

Dalam situasi ini, syarikat-syarikat yang menghadapi tekanan kewangan mengupah penyiasat persendirian sebagai langkah bijak walaupun kosnya tinggi.

Pengasas agensi penyiasatan Lentz Group, Marcus Lentz, menjelaskan bahawa majikan kini semakin kurang toleransi terhadap pekerja yang mengambil MC berlebihan.

Beliau mendedahkan terdapat kes di mana pekerja yang mendakwa sakit sebenarnya bekerja di perniagaan keluarga atau melakukan pengubahsuaian rumah semasa MC.

“Jika seseorang mengambil 30, 40, atau bahkan 100 hari MC dalam setahun, mereka akhirnya menjadi tidak ekonomik untuk majikan,” kata Lentz kepada AFP.

Bagaimanapun, pakar menegaskan bahawa penggunaan penyiasat persendirian tidak menyelesaikan punca sebenar peningkatan MC.

Peningkatan penyakit, tekanan di tempat kerja dan isu kesihatan mental yang diperburukkan oleh pandemik adalah faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini.

Selain itu, walaupun terdapat bukti kukuh, tindakan memberhentikan pekerja berdasarkan penyiasatan ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Sebagai contoh, di Itali, seorang pemandu bas yang ditangkap membuat persembahan di bar ketika MC kerana ‘masalah kesihatan mental’, telah dipecat.

Namun, Mahkamah Agung Itali memutuskan bahawa aktiviti tersebut membantu meredakan keadaannya, dan mengarahkan dia diambil semula bekerja.

BACA: Kebakaran LA: Angin Santa Ana Dijangka Kembali Mengganas

BACA: Pekan Kecil Ini Terkejut Terima “Warisan” Cecah RM45 Juta

BACA: Rundingan Gencatan Senjata Gaza Hampir Dimuktamadkan – Qatar

Sumber: AFP via The Independent Singapore

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.