Siakap Keli
Nilai kekayaan Islam Makhachev 2025
Gambar: UFC

Nilai Bersih Kekayaan Islam Makhachev Pada 2025

Nilai Bersih Kekayaan Islam Makhachev Pada 2025

Islam Makhachev, terus popular dalam dunia Ultimate Fighting Championship (UFC) apabila berjaya mempertahankan gelaran lightweight miliknya buat kali keempat berturut-turut.

Dengan kejayaan terbaharu ini, atlet berusia 33 tahun dari Dagestan, Rusia itu sekali gus memecahkan rekod yang sebelumnya dipegang oleh Khabib Nurmagomedov, Benson Henderson dan BJ Penn.

Untuk info, tiga legenda UFC tersebut masing-masing pernah mempertahankan kejuaraan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Berapa nilai kekayaan Makhachev?

Berdasarkan maklumat yang tersedia, laman web ‘Celebritynetworth.com’ menganggarkan kekayaan bersih Makhachev pada 2025 adalah sekitar $6 juta (sekitar RM27 juta).

Namun, angka ini ‘sukar untuk disahkan’ kerana tiada maklumat terperinci tentang aset dan liabiliti Makhachev yang diketahui umum.

Menariknya, beberapa petunjuk menunjukkan bahawa kekayaan Makhachev berkemungkinan adalah lebih besar daripada angka tersebut.

Pendapatan Kerjaya UFC dan ‘Endorsement’

Sebagai salah seorang bintang terbesar UFC, pendapatan Makhachev daripada perlawanan sahaja sudah mencapai angka yang ‘luar biasa’.

Sepanjang kariernya dalam UFC, beliau dilaporkan telah memperoleh lebih daripada $5 juta (sekitar RM22.5 juta).

Hari gaji tertingginya datang daripada perlawanan ulangan di UFC 294 menentang Alexander Volkanovski, di mana beliau menerima bayaran sebanyak $2.54 juta (sekitar RM11.4 juta).

Selain itu, beliau juga memperoleh lebih daripada $1 juta (sekitar RM4.5 juta) dalam dua perlawanan lain, iaitu:

  • Pertembungan di UFC 302 menentang Dustin Poirier ($1.84 juta atau sekitar RM8.28 juta).
  • Pertarungan pertama menentang Alexander Volkanovski ($1.49 juta atau sekitar RM6.7 juta).

Bagaimanapun, pendapatan Makhachev tidak terhad kepada perlawanan sahaja.

Sebagai seorang figura yang berpengaruh, Makhachev turut menandatangani beberapa perjanjian penajaan dengan jenama terkenal, seperti:

  • Monster Energy dan Gorilla (minuman tenaga).
  • Wahed, sebuah syarikat fintech pelaburan patuh syariah berpusat di New York.
  • Al Hadaya, syarikat pemberian hadiah Islamik.

Kesemua ini menunjukkan bahawa pendapatan beliau jauh melebihi angka yang dilaporkan dari perlawanan semata-mata.

Walaupun anggaran kekayaan bersih Islam Makhachev masih ‘misteri’, jelas bahawa beliau menikmati kejayaan kewangan yang cukup ‘lumayan’.

BACA: Anak Murid Khabib Kekal Juara UFC

BACA: Islam Makhachev Pecah Rekod Tiga Legenda UFC

BACA: Nilai Bersih Kekayaan Khabib Nurmagomedov Pada 2025

Sumber: Essentiallysports.com

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.