Fenomena 6 Planet ‘Berbaris’ Dapat Dilihat Januari-Februari Ini
Peminat angkasa lepas berpeluang menyaksikan fenomena menarik yang jarang-jarang berlaku, iaitu tujuh buah planet dalam kedudukan sebaris pada 28 Februari ini.
Menurut BBC, orang ramai sudah pun dapat melihat fenomena enam planet dalam kedudukan sebaris yang berlaku pada Januari hingga hujung Februari.
Enam planet berkenaan adalah Zuhrah, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun.
Bagaimanapun, ‘perbarisan’ enam planet berkenaan akan disertai oleh planet ketujuh, Utarid pada penghujung Februari nanti.
Fenomena 6 planet ‘berbaris’ dapat dilihat, disertai Utarid hujung Februari ini
Fenomena angkasa luar biasa yang berlaku itu juga sangat penting kerana ia turut menambah pemahaman manusia tentang peredaran planet-planet mengorbit Matahari dalam Sistem Suria.
Menurut BBC, lapan planet utama termasuk Bumi mengelilingi Matahari pada kelajuan yang berbeza.
Utarid yang merupakan planet paling dekat dengan Matahari melengkapkan orbitnya dalam tempoh 88 hari. Manakala Bumi, seperti yang semua sedia maklum mengambil masa selama setahun ataupun 365 hari.
Manakala planet paling jauh, Neptun mengambil masa selama 60,190 hari atau 165 tahun untuk mengorbit Matahari.
Perbezaan pergerakan ini bermakna ada beberapa planet akan berada dalam kedudukan sebaris pada satu sisi Matahari dalam tempoh-tempoh tertentu.
Jika orbit-orbit ini sejajar pada waktu yang tepat, kita di Bumi dapat melihat beberapa buah planet dalam kedudukan sebaris pada garisan ekliptik.
Dalam peristiwa yang jarang-jarang berlaku pula, kita malah berpeluang untuk menyaksikan semua planet muncul sebaris di langit.
Menurut BBC, lima planet iaitu Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal cukup cerah untuk dilihat menggunakan mata kasar.
Manakala untuk melihat Uranus dan Neptun pula memerlukan binokular ataupun teleskop.
Walaupun dalam kedudukan sebaris, planet-planet ini bukanlah tersusun tepat dalam satu barisan seperti yang dibayangkan.
Sebaliknya kita melihat kedudukan planet-planet tersebut dalam lengkungan disebabkan perbezaan satah orbit masing-masing dalam Sistem Suria.
Sepanjang Januari hingga Februari, kita dapat melihat semua planet dalam kedudukan sebaris kecuali Utarid, yang hanya menyertai perbarisan ini pada hujung Februari.
BACA: Harga Runcit RON95 Kekal, RON97 Dan Diesel Naik Lima Sen
BACA: Kedai KK Mart Cawangan UM Didakwa Disimbah Cat Merah
Sumber: BBC