Berisiko Tersingkir, Man City Tunduk 4-2 Kepada PSG
Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City kini diambang penyingkiran selepas tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi di Parc des Princes stadium, lapor Talk Sport.
Kedua-dua pasukan masing-masing turun dengan misi wajib menang ke atas lawan selepas bergelut di zon penyingkiran.
Sejak wisel permainan ditiup, kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke arah pintu gol lawan.
Tuan rumah berjaya mengejutkan lawan dengan sepakan kencang Achraf Hakimi, namun gol tersebut dibatalkan kerana offside selepas semakan VAR.
Separuh masa pertama menyaksikan PSG dan Manchester City masing-masing buntu tanpa sebarang jaringan.
Citizen Bermula Garang
Lima minit babak kedua bermula, Jack Grealish mencetak gol pertama sebelum kemudian Erling Haaland tiga minit meletakkan The Citizens selesa dua gol di hadapan.
Biarpun ketinggalan di 0-2, PSG segera kembali dalam permainan dengan Ousmane Dembele dan Bradley Barcola masing-masing mencetak gol untuk menyamakan kedudukan.
Magis di Parc des Princes stadium

Bermain di hadapan puluhan ribu penyokong di laman sendiri menyuntik lagi semangat kelab Perancis itu apabila Joao Neves meletakkan tuan rumah kembali di hadapan dengan skor 3-2.
Harapan anak-anak buah Pep Guardiola untuk kembali mencari gol penyamaan musnah apabila Goncalo Ramos menjaringkan gol keempat PSG pada penghujung permainan sekaligus mengunci tiga mata berharga buat tuan rumah.
Sementara itu, Pep berkata pasukan lawan berhak menang selepas mempamerkan aksi yang lebih baik.
“Pada separuh masa pertama mereka ada satu atau dua peluang, tetapi mereka lebih baik.
“Mereka lebih pantas, cepat dalam memenangi perebutan bola, dan lebih ramai di tengah, yang memberikan banyak masalah kepada kami.
“Saya terima kekalahan ini kerana pasukan mereka lebih layak menang.
“Kami masih ada satu peluang terakhir menentang Brugge, dan berharap kami dapat melayakkan diri,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan City kini terperosok di kedudukan ke-25 sekaligus berada di zon penyingkiran.
Manakala PSG berada di tempat ke-22 dengan 10 mata selepas mengutip tiga mata, berpeluang untuk mara pusingan play-off.
Nasib Manchester City kini terletak di tangan kelab Belgium, Club Brugge dalam perlawanan ke-8 sama ada layak ke pusingan seterusnya ataupun pulang awal.
Sementara itu, Liverpool kini memimpin carta UCL dengan 7 kemenangan tanpa tewas dan mengumpul 21 mata, diikuti Barcelona di kedudukan ke-2 dan Arsenal di tempat ke-3.
Sumber: Talk Sport