Tular Rakaman Bot Karam Ketika Pindahkan Mangsa Banjir Di Bintulu
Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir besar melanda beberapa kawasan di Sarawak.
Menurut media tempatan, jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 4,826 orang daripada 1,366 keluarga, hari ini.
Difahamkan, banjir besar yang melanda beberapa kawasan di negeri di Malaysia Timur itu berpunca daripada hujan luar biasa Monsun Timur Laut dan air pasang besar.
Sebuah bot karam di kawasan Kemunting Bintulu
Sementara itu, sebuah bot dilaporkan karam sewaktu memindahkan mangsa banjir di kawasan Kemunting Bintulu, semalam.
Video kejadian berkenaan turut dikongsikan oleh BERNAMA TV menerusi satu hantaran di platform X.
Menurut BERNAMA, video tersebut diambil daripada perkongsian seorang pengguna Facebook menerusi akaun Patricia Therisa Sunam.
https://x.com/BernamaTV/status/1884547329237426586
Dalam video berkenaan, dapat dilihat beberapa orang penumpang berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki terbalik dan dibawa arus banjir deras di kawasan kejadian.
Dengan paras air juga kelihatan tinggi, pergerakan mereka dilihat sedikit terbatas dalam situasi berkenaan.
Pada waktu yang sama, barang-barang milik mangsa banjir turut tenggelam dan dihanyutkan air.
“Diharapkan semoga kesemua mangsa terselamat,” kata BERNAMA.
https://www.facebook.com/lousiaoxox/videos/614015698230354
Tiada maklumat lanjut dikongsikan berkenaan kejadian berkenaan.
Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Sabah dan Sarawak
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya sehingga 31 Januari, Jumaat ini.
Menurut kenyataan, amaran berkenaan dikeluarkan untuk beberapa kawasan di negeri Sarawak.
“Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Sarawak di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis) sehingga Jumaat ini,” maklum kenyataan itu.
Manakala amaran hujan berterusan tahap buruk turut dikeluarkan untuk beberapa kawasan lain di negeri Sarawak serta di Sabah.
“Di Sarawak, kawasan yang terlibat adalah Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru, Miri dan Marudi).
“Manakala di Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” tulis kenyataan itu lagi.
Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Sabah termasuk Pedalaman (Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod).
BACA: Rupanya Ini Sebab Tunggul Dibiar Bila Tebang Pokok Kelapa