Siakap Keli
projek infrastruktur rakyat
Sumber : BERNAMA

Projek Infrastruktur Rakyat Sabak Bernam Tahun 2025

Projek Infrastruktur Rakyat Sabak Bernam Tahun 2025

SABAK BERNAM, SELANGOR – Hari ini saya berkesempatan turun padang ke daerah Sabak Bernam, Selangor untuk berbincang dan meninjau projek infrastruktur rakyat khususnya bagi rakyat Sabak Bernam meliputi projek baharu dan projek  penyenggaraan yang dilaksanakan pada tahun 2025.  

2. Saya bersama pasukan teknikal JKR Malaysia telah melawat kawasan di Jalan Persekutuan FT05 Sungai Besar – Sabak Bernam untuk melihat lokasi tapak pembinaan Jejantas Laluan Motorsikal dan Pejalan Kaki berhadapan Sekolah  Kebangsaan Sungai Leman, Sabak Bernam, Selangor.  

3. Kerja ukur dan siasatan tanah bakal dilaksanakan pada bulan Mac 2025, seterusnya proses pengiklanan projek pada bulan November 2025. Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada pihak kontraktor yang layak dan terpilih dijangka diadakan pada bulan Mac 2026.  

4. Jalan Persekutuan FT005 merupakan salah satu laluan utama yang sering  digunakan oleh masyarakat setempat dan pengguna jalan raya dari Tanjung Karang  ke Sabak Bernam. Jumlah aliran trafik adalah termasuk dalam kategori sangat tinggi  dan berisiko kerana turut dilalui oleh kenderaan berat. Justeru, keperluan untuk  sebuah jejantas di lokasi ini amat mendesak bagi memastikan keselamatan pejalan  kaki dan penunggang motosikal, kerana terdapat sebuah sekolah dan sebuah masjid berdekatan lokasi ini. Pembinaan jejantas ini juga bakal melancarkan pergerakan  trafik di mana kenderaan tidak perlu berhenti untuk memberi laluan pengguna jalan  raya melintas jalan tersebut.  

5. Projek Infrastruktur Rakyat di Sabak Bernam bagi tahun ini turut melibatkan kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan FT005 dengan keutamaan projek baik pulih  jalan yang kritikal melibatkan kerja penurapan semula, pembaikan sistem perparitan  dan penggantian struktur jalan yang rosak di mana kesemua kerja ini memerlukan  peruntukan berjumlah RM4.6juta. JKR Sabak Bernam bertanggungjawab  menyenggara jalan ini yang bermula di Parit 4 Sekinchan seksyen 506.400 dan  berakhir di Jambatan Sabak Bernam seksyen 548.600 sepanjang 42.2km. 

6. Selain daripada itu, kerja-kerja menaik taraf lampu jalan juga diberikan  keutamaan seperti penambahan pemasangan lampu solar, pembaikan feeder pillar,  penggantian kabel dan pembaikan lampu isyarat dengan jumlah peruntukan  kewangan yang diluluskan sebanyak RM750 ribu bagi meningkatkan aspek  keselamatan dan keselesaan pemanduan di daerah ini.

7. Jumlah peruntukan penyenggaraan Jalan Persekutuan FT05 di daerah Sabak  Bernam ialah RM2.26 juta tidak termasuk kos projek membina jejantas baharu  tersebut. Seperti yang ditekankan dalam amanat 2025 saya, fokus utama diberikan  kepada pembinaan dan penyenggaraan infrastruktur rakyat yang menepati spesifikasi  kualiti, kos dan masa yang ditetapkan ke arah sasaran Sifar Projek Sakit. 

8. Kementerian Kerja Raya komited untuk memastikan keterhubungan,  aksesibiliti dan mobiliti rakyat melalui rangkaian Jalan Persekutuan yang berkualiti,  selamat dan selesa. Fokus berterusan terhadap infrastruktur jalan raya dan projek  berpaksikan rakyat ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan selari dengan  aspirasi Program MyJalan dan nilai teras Malaysia Madani.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.