Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Kongsi Teknik Rebus Daging Jimat Masa & Gas

Azizah Najib
cara rebus
Kredit: Cham Osman
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Tetap Empuk, Lelaki Kongsi Teknik Rebus Daging Jimat Masa & Gas

Zaman yang semakin mencabar ini membuatkan ramai antara kita yang sudah mula merajinkan diri masuk ke dapur. Tidak kira sama ada memasak untuk bekal ke tempat kerja mahupun untuk dihidang kepada tetamu. Tambahan pula bila musim puasa dan raya semakin menghampiri, pelbagai resipi mula dikongsi untuk kita cuba.

Namun, terdapat satu perkara yang sering menjadi halangan buat sesiapa sahaja untuk cuba memasak, iaitu sukar menghasilkan hidangan daging yang betul-betul empuk. Takkan nak hidangkan rendang daging liat bila sanak saudara datang bertandang kan? Nak pesan banyak-banyak, mahal pula.

Buat anda yang sentiasa runsing dan tidak tahu cara untuk masak daging hingga empuk tanpa mengeluarkan modal yang banyak, SK ada penyelesaiannya.

Mari ikuti perkongsian salah seorang pengguna Facebook, Cham Osman yang menggunakan teknik 5:30:7. Tiada daun betik, tanpa periuk pressure cooker pun boleh dapat daging empuk.

Teknik ini sesuai untuk anda yang tidak mempunyai periuk pressure cooker. Hanya masak atas dapur seperti biasa.

Ketika ditanya SK, Cham memaklumkan teknik ini dipelajarinya ketika bekerja di Australia.

“Teknik ini dikongsi oleh mak angkat saya, orang Thailand.

“Teknik ini dapat membantu mengurangkan waktu merebus, daripada dua jam lebih mungkin kepada satu jam sahaja. Memandangkan total 5:30:7 bersamaan 42 minit, berbaki masa tambahan 18 minit lagi andai daging tak empuk,” ujarnya.

Mari kita ikuti teknik perkongsian Cham Osman.

Pertama sekali, anda perlu masak air terlebih dahulu di dalam periuk sehingga mendidih.

Kemudian, masukkan bahan yang anda nak rebus ke dalam air mendidih. Biarkan selama lima minit.

“Perhatikan masa, kira dari mula mendidih selepas masuk bahan,” pesan Cham.

Langkah ketiga ialah tutup api selepas tamat lima minit tadi. Kemudian, tutup periuk dengan penutup. Biarkan selama 30 minit.

“Jangan sesekali buka penutup periuk walaupun sekadar nak main cak cak,” katanya.

Akhir sekali, anda perlu hidupkan semula api. Kemudian, biarkan ia mendidih selama tujuh minit pula. Seperti cara tadi, anda kena kira masa dari mula mendidih.

“Langkah kelima perlu diulang dua kali lagi, jika perlu. Sebab jenis dan bahagian daging pun mainkan peranan.

“Contohnya ada daging lama, daging tua, daging beku, daging segar dan bahagian-bahagian flank, shank, sirloin, brisket dan lain-lain,” tambah Cham.

Tamat sahaja tujuh minit, api sudah boleh dipadamkan. Menurutnya, teknik ini tidak memerlukan api yang besar, cukup dengan menggunakan api sederhana.

“Gunakan periuk yang sesuai macam periuk sup tu dan air pun kena pandai agak sebab takut melimpah,” pesannya lagi.

Selain itu, Cham yang juga sering mengikuti arwah bapanya memasak di kenduri kahwin turut menyertakan beberapa petua berguna.

“Teknik ini boleh digunakan untuk merebus daging, ayam pencen, kaki ayam, kentang, keledek, kacang kuda dan juga kacang dhal. Untuk daging, masukkan sedikit garam dan minyak masak sebelum merebus. Tutup periuk sepanjang merebus,” kongsi Cham.

Semoga perkongsian ini dapat merungkaikan kekusutan anda yang inginkan daging seempuk hidangan restoran.

BACA: Cikgu Ajar Murid Berdikari, Seterika & Lipat Baju Sendiri

Sumber: Cham Osman via Kumpulan Masak Apa Hari Ini