Lebih Dua Tahun Simpan Dalam Peti Sejuk, Wanita Akhirnya Makan Lauk Terakhir Dimasak Mendiang Suami
Kehilangan orang tersayang menjadi satu momen yang pastinya tidak mahu dilalui oleh sesiapa sahaja. Namun, siapa kita untuk menolak ketentuan takdir.
Bila mereka sudah meninggal dunia, hanya kenangan dan memori indah menjadi ‘peneman’ kita sepanjang menyelusuri jalan hidup.
Malah, ada sesetengah orang yang masih lagi menyimpan barangan atau pakaian yang digunakan oleh orang tersayang sebelum meninggal dunia.
Seperti wanita ini yang menyimpan lauk terakhir yang dimasak oleh mendiang suaminya selama bertahun-tahun.
Juga merupakan seorang pempengaruh, Sabrina menerusi satu kiriman video di TikTok berkongsi detik-detik ketika dia memakan lauk tersebut selepas lebih dua tahun disimpan dalam peti ais.
Menurutnya, dia memutuskan untuk makan kari tersebut selepas sekian lama kerana ingin berpindah dari rumah itu.
BACA: Lelaki Kongsi Teknik Rebus Daging Jimat Masa & Gas
“Saya ada sesuatu yang sangat istimewa, di hari Tony (mendiang suami) meninggal dunia, saya teringin makan kari Jepun dan dia masakkan untuk saya.
“Selepas dia meninggal, saya masukkan kari ini di dalam peti sejuk beku dan berhasrat untuk menyimpannya buat selama-lamanya. Tapi saya akan berpindah dan perlu memakan kari ini,” ujarnya dalam video tersebut.
Berkongsi lebih lanjut, Sabrina berkata mendiang suaminya mempunyai pelbagai cara untuk menunjukkan rasa cinta kepadanya dan salah satu darinya adalah dengan memasak. Mendiang suaminya tidak akan pernah menolak permintaannya untuk memasak makanan yang dia inginkan.
Rasanya sangat enak
Selepas memanaskan semula kari tersebut di atas dapur, Sabrina memakan lauk tersebut begitu sahaja tanpa nasi.
“Daging masih lagi lembut, rasanya sangat enak,” katanya ketika makan makanan itu.
@sabfortony i’ll forever miss tony’s cooking #lastmeal #moving #griefjourney #healingjourney #lifeafterloss #partnerloss
Perkongsiannya itu telah mendapat lebih 16 juta tontonan dan dihujani dengan pelbagai komen dari warganet.
Terdahulu, menerusi kiriman yang dimuat naik pada 2023, Sabrina memaklumkan bahawa Tony telah meninggal dunia akibat serangan jantung.
Sabrina yang mempunyai lebih 65,000 pengikut di TikTok, sering memuat naik video-video kenangan bersama Tony. Dia juga turut berkongsi mengenai rutinnya selepas kehilangan suami tercinta.
Sumber: Sabfortony