Pelakon veteran tanah air, Roslan Saleh, 69, meninggal dunia di rumahnya pagi tadi.
Berita duka itu telah dikongsikan oleh anak perempuannya, Farahanis Roslan di laman Facebook.
“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda saya Roslan Saleh baru saja meninggal dunia sebentar tadi.
“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia,maafkanlah dia, ampunilah segala dosa dan kesalahan dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai tempat tinggalnya dan berikanlah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Zainun Majid menceritakan detik-detik terakhir sebelum suaminya menghembuskan nafas terakhir.
“Semalam, kira-kira 10 malam dia ada panggil saya ‘yang’ (sayang)…itu adalah kali terakhir dia panggil saya. Saya tanya dia nak air ke tapi arwah hanya diam namun matanya terbuka.
“Allahyarham sudah lima tahun terlantar sakit. Sebelum meninggal dunia, arwah memang tidak banyak bercakap,” katanya kepada Bernama.
Memetik laporan Astro Awani, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah Melaka. Jenazah akan dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di sana.
Proses pengebumian pula akan dilakukan selepas solat Jumaat.
BACA: Saraf Mata Dimatikan, Mata Pak Lan Dah Tak Nampak
Allahyarham sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit kencing manis kritikal.
Keadaan itu juga menyebabkan dirinya tidak dapat berlakon seperti sediakala.
Malah, deria penglihatannya juga telah tiada akibat glaukoma. Pada 2022, saraf penglihatannya telah dimatikan oleh doktor untuk menghilangkan rasa sakit dan pening kepala yang dihadapinya selama bertahun-tahun lamanya.
Dia yang juga lebih mesra disapa sebagai Pak Lan sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni.
Antara filem yang dibintangi olehnya adalah ‘Sembilu 2’, ‘Munafik 2’ dan ‘Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda’. Dia juga telah berlakon dalam ratusan drama.
Sumber: Farahanis Roslan