Siakap Keli
Arif Aiman
Gambar: Instagram @ariifaiman42

ACLE: Dianggap Cipta Impak Besar, Ini Kata Arif Aiman Hanapi

ACLE: Dianggap Cipta Impak Besar, Ini Kata Arif Aiman Hanapi

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengiktiraf Arif Aiman Hanapi sebagai salah satu bintang bola sepak yang menyerlah musim ini.

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikatakan telah mencipta impak besar dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Namun begitu, dalam satu sesi soal jawab di laman rasmi AFC, pemain berusia 22 tahun itu memilih untuk merendah diri.

Sebaliknya, beliau memberikan kredit penuh kepada usaha berpasukan JDT.

Setakat ini, Arif telah mencatatkan empat gol, meletakkannya di tangga kesembilan senarai penjaring terbanyak.

Kedudukan tersebut sebaris dengan pemain berprofil tinggi seperti Akram Afif (Al-Sadd), Riyad Mahrez (Al-Ahli) dan Ivan Toney (Al-Ahli).

“Impak besar itu ialah terhadap pasukan dan dilakukan oleh pasukan, bukan saya seorang diri.

“Ia tentang kami semua memberikan yang terbaik dalam kesemua enam perlawanan peringkat kumpulan yang telah kami lalui, dan masih banyak bahagian yang perlu kami perbaiki.

“Kami perlu menambah baik lagi untuk perlawanan yang akan datang bagi memastikan kami mara ke pusingan seterusnya.

“Gol yang dijaringkan oleh saya adalah motivasi untuk saya dan saya akan terus berusaha dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Bakal beraksi di luar negara?

Prestasi cemerlang Arif Aiman ini menimbulkan perbincangan dalam kalangan peminat bola sepak yang percaya sudah tiba masanya beliau mencuba pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, pemain muda ini memilih untuk fokus bersama JDT buat masa ini.

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi di tahap tertinggi untuk JDT.

“Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini.

“Saya rasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan meletakkan sasaran tinggi,” ujarnya.

Untuk info, JDT kini berada di tangga keenam Liga Bahagian Timur ACLE dengan lapan mata daripada enam perlawanan.

Untuk mara ke pusingan kedua, JDT perlu bersaing merebut tempat dalam kalangan lapan pasukan terbaik daripada 12 pasukan keseluruhan.

BACA: ACLE: Arif Aiman Di Tangga Kedua Dalam Senarai Penjaring Terbanyak, Atasi Ronaldo

BACA: Ini Nilai Pasaran Semasa Pemain Bola Sepak Malaysia, Arif Aiman

BACA: Arif Aiman ‘Diserang’ Penyokong Iran

Sumber: Stadium Astro (1) (2)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.