Siakap Keli
Israel berundur
Gambar: Haitham Imad/EPA-EFE

Tentera Israel ‘Berundur’ Dari Koridor Netzarim Di Gaza

Tentera Israel ‘Berundur’ Dari Koridor Netzarim Di Gaza

Tentera Israel dilaporkan telah berundur dari Koridor Netzarim di Gaza, seperti yang ditetapkan dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dimeterai bulan lalu.

Menurut seorang pegawai Hamas, tentera Israel telah ‘membongkar’ semua pos dan kedudukan ketenteraan serta menarik keluar kereta kebal mereka dari koridor tersebut yang terletak di Jalan Salaheddin.

“Kini, kenderaan boleh bergerak bebas di kedua-dua arah,” katanya pada Ahad.

Pertukaran tahanan & rundingan di Qatar

Penarikan keluar ini berlaku sehari selepas pertukaran tahanan kelima antara Hamas dan Israel.

Hamas membebaskan tiga warga Israel sebagai tukaran kepada 183 tahanan Palestin yang berada dalam penjara Israel.

Pada hari yang sama, Israel turut menghantar delegasi ke Qatar bagi mengadakan rundingan berkaitan fasa kedua gencatan senjata.

Namun, menurut pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, perbincangan hanya melibatkan isu teknikal dan bukan isu lebih rumit seperti pentadbiran Gaza pasca perang.

Kegagalan Israel, kata Hamas

Dalam satu kenyataan, Hamas menyifatkan penarikan keluar ini sebagai bukti kegagalan kempen perang Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kembalinya penduduk yang dipindahkan ke rumah mereka serta kesinambungan pertukaran tahanan membuktikan pembohongan Netanyahu tentang kejayaan mereka dalam perang selama 15 bulan ini,” kata Hamas.

Wartawan Al Jazeera di utara Gaza, Hani Mahmoud, melaporkan bahawa penarikan tentera Israel ini memberi harapan kepada pergerakan yang lebih lancar di kawasan tersebut.

“Namun, bagi penduduk yang dipindahkan dari kawasan ini, sukar untuk membayangkan mereka kembali ke rumah masing-masing selain mungkin mendirikan khemah sementara di merata tempat,” katanya.

Koridor Netzarim “tidak seharusnya wujud lagi”

Koridor Netzarim merujuk kepada kawasan tanah yang sebelum ini memisahkan bahagian utara Gaza daripada kawasan lain.

Ia diwujudkan pada awal perang Gaza sebagai zon ketenteraan tertutup sepanjang kira-kira 6 kilometer, yang menghubungkan sempadan Gaza dengan Laut Mediterranean.

Berdasarkan perjanjian gencatan senjata, tarikh akhir bagi penarikan keluar tentera Israel dari koridor tersebut ditetapkan pada 9 Februari.

Mouin Rabbani, felo bukan residen di Middle East Council on Global Affairs, menyatakan bahawa koridor ini “tidak seharusnya wujud lagi”.

“Israel telah mendirikan pelbagai struktur di kawasan ini dengan tujuan untuk terus mengawal dan melumpuhkan pergerakan di Gaza.

“Namun, mereka kini terpaksa menarik diri dan diharap tidak akan kembali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Al Jazeera melaporkan bahawa Koridor Netzarim bukanlah sekadar pembukaan koridor strategik seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya, ia merupakan rampasan tanah besar yang dilakukan dengan kekerasan serta pembunuhan rakyat Palestin.

Situasi ini turut melibatkan pemusnahan kediaman di beberapa lokasi utama. Ini termasuk kem pelarian Nuseirat dan Bureij serta kawasan kejiranan al-Mughraqa, az-Zahra, Zeitoun, Juhor ad-Dik dan beberapa kawasan lain.

Justeru, penarikan keluar tentera Israel dilihat sebagai langkah penting ke arah membawa keamanan dan kestabilan kepada wilayah Gaza yang telah lama terkesan akibat konflik berpanjangan.

BACA: Trump Cadang AS ‘Ambil Alih’ Semenanjung Gaza

BACA: Trump Cadang Pindahkan Penduduk Palestin Di Luar Gaza

BACA: Trump Tidak Yakin Gencatan Senjata Gaza Kekal Lama

Sumber: Al Jazeera (1) (2)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.