Safee Sali Kongsi Keadaan Zaquan Adha
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali, berkongsi keadaan sahabatnya, Zaquan Adha, yang sedang berduka atas pemergian anak bongsunya, Muhammad Aisy Al Rees, yang meninggal dunia pada Selasa.
Dalam satu panggilan menerusi segmen Tiga Pagi ERA, Safee memaklumkan bahawa beliau hadir ke Unit Forensik, Hospital Rembau, Negeri Sembilan pada malam kejadian untuk memberi sokongan moral kepada Zaquan.
“Keadaannya memang sangat sayu. Zaquan sangat ‘down’.
“Saya berada di sana untuk memberikan sokongan moral kepadanya dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.
“Arwah menjalani proses post-mortem semalam. Itu yang agak lambat sikit keluar dari hospital.
“Saya sendiri mendapat berita ini daripada group Astro Arena, dan sebaik sahaja mengetahuinya, saya terus bergegas ke Seremban.
“Setakat yang dimaklumkan, jenazah akan dikebumikan sekitar jam 9 pagi,” jelasnya.
Terdahulu, Zaquan berkongsi berita duka mengenai pemergian anak bongsunya itu menerusi hantaran di Instagram Stories pada Selasa.
Sementara itu, Rozita Che Wan, dalam kiriman teks kepada pihak media, memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar tengah hari Selasa dan difahamkan arwah meninggal dunia ketika tidur.
Untuk info, isteri Zaquan, pelakon Ayu Raudhah, telah selamat melahirkan Muhammad Aisy Al Rees pada 2 Ogos lalu dengan berat 2.3 kilogram.
Zaquan dan Ayu mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, termasuk Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees.
Anak-anak mereka yang lain ialah Muhammad Aisy Qaiser (12), Muhammad Aisy Aryann (11), Laura Zuleykha (8), Muhammad Aisy Khaliq (6), Muhammad Aisy Al Jibreel (3) dan seorang lagi anak berusia dua tahun.
BACA: Anak Bongsu Zaquan & Ayu Raudhah Meninggal Dunia
BACA: Gerai Mercun Terbakar, Lima Kenderaan Musnah
BACA: Ustaz Abdul Aziz Mohd Shahar Meninggal Dunia
Sumber: Astro Gempak