Patut Atlet Terkaya Di Dunia, Ini Perniagaan Dilakukan Cristiano Ronaldo
Siapa sahaja yang tak kenal Cristiano Ronaldo, bintang bola sepak dunia yang kini bermain di kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Dalam kontrak baharu yang ditandatangani bersama kelab itu, Ronaldo memperoleh sejumlah 167.9 juta pound (RM923 juta) setahun, sekali gus mengekalkan statusnya selaku pemain bola sepak paling mahal dunia.
Tahu tak, sebenarnya Ronaldo turut melakukan pelbagai perniagaan lain selain kerjayanya sebagai pemain bola sepak terkemuka.
Berikut senarai perniagaan Cristiano Ronaldo;

Pestana CR7
Cristiano dan Kumpulan Hotel Pestana merupakan sebuah syarikat pelancongan Portugis yang telah bekerjasama untuk mencipta jenama hotel ini. Syarikat ini mula bertapak di Funchal, Madeira, kampung halaman Ronaldo di Portugal.
Kemudian, Pestana CR7 semakin berkembang dan kini telah membuka cawangan baharu di New York City, Lisbon, dan Madrid.
Jenama Gaya Hidup CR7
Tidak dinafikan Ronaldo merupakan atlet yang sangat berdisiplin dalam gaya hidupnya.
Bukan itu sahaja, dia juga telah membuat pelaburan besar dalam industri fesyen.
Jenama peribadinya, CR7 telah mengeluarkan pelbagai produk seperti pakaian, aksesori, kasut, wangian, dan cermin mata.
Pemain berusia 40 tahun itu juga memiliki perniagaan pakaian dalam untuk lelaki dan wanita selain membangunkan Eden Perfume Cristiano Ronaldo Fragrance dengan kerjasama pengeluar minyak wangi dari Britain.
Gim & Pusat Kecergasan
Bermain bola sepak di peringkat tertinggi pada usia 40 tahun mungkin kedengaran sukar dipercayai, namun jika itu Ronaldo, ia tidak mengejutkan.
Tidak disangkal lagi bahawa Ronaldo merupakan antara atlet paling cergas di dunia. Bukan sahaja memberikan inspirasi dalam dunia bola sepak, namun Ronaldo turut memiliki rangkaian pusat kecergasan.
Pada tahun 2016, Cristiano Ronaldo bersetuju untuk membuka CR7 Crunch Fitness melalui kontrak dengan Crunch Franchise.
Bagaimanapun, pusat kecergasan ini berpangkalan di Portugal dan Sepanyol sehingga kini.
Restoran
Tahukah anda, Groupo Mabel Capital, syarikat restoran mewah Zela sebenarnya dimiliki oleh Cristiano Ronaldo, Rafael Nadal, Pau Gasol, dan penyanyi Enrique Iglesias.
Secara bersama, mereka memiliki beberapa restoran itu di pelbagai lokasi, termasuk Madrid, Beverly Hills, Ibiza, dan Doha.
Klinik Rambut

Ketika bermain untuk Juventus, antara usaha terbaru Ronaldo adalah menubuhkan sebuah klinik rambut, Insparya, di Sepanyol.
Klinik ini menyediakan perkhidmatan pemindahan rambut untuk membantu individu meningkatkan keyakinan diri.
Selain melantik tunangnya, Georgina Rodriguez, sebagai pelaksana, Ronaldo juga memegang 50 peratus saham dalam syarikat ini. Perniagaan ini telah berkembang dengan beberapa cawangan di Portugal.
Perkhidmatan Jet Peribadi
Tentu ramai yang tahu bahawa Ronaldo memiliki beberapa jet peribadi. Terbaru, dia telah membeli Gulfstream G650 bernilai $73 juta, salah satu jet peribadi terpantas di dunia.
Jet Gulfstream mempunyai rekaan dalaman mewah dan boleh menampung sehingga 19 penumpang.
Walaupun dia tidak menyewakan jet baharunya sebaliknya menyewakan jet peribadi yang lain, termasuk Bombardier Global Express 6500, sebagai sumber pendapatan tambahan.
Difahamkan, harga sewaan jet itu kira-kira tiga ribu euro sejam. Ini adalah antara pelaburan paling menguntungkan dalam portfolionya.
Sumber: Ceoinsightsasia.com