Dua Beradik Cedera Parah Digilis Lori Dalam Perjalanan Ke Sekolah
NIBONG TEBAL, 18 Feb (Bernama) — Dua beradik cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di susur masuk ke Jalan Besar Sungai Bakap di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Chong Boo Khim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi itu, mangsa yang berusia tujuh tahun dilaporkan putus tangan kiri manakala adiknya berusia lima tahun putus kaki kanan akibat digilis lori berkenaan.
“Dua beradik lelaki itu menaiki motosikal yang ditunggang neneknya berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan ke sekolah, dan wanita berkenaan turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
“Mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu, dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Rizal Abdul Rani di talian 013-939 6252 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video dan gambar kemalangan berkenaan di media sosial, dan ia mengundang reaksi simpati daripada orang ramai yang turut mendoakan kesejahteraan mangsa.
BACA: Sultan Ibrahim Selamat Jalani Rawatan Di Luar Negara
BACA: Suspek Kes Tembak Di Setia Alam Sempat Lakukan Lima Jenayah Sebelum Sembunyi Di Pulau Ketam
BACA: Suami Kecewa Isteri ‘Hilang’ Ditemui Maut Bersama Kekasih Gelap
Sumber: Bernama