Siakap Keli
sistem perisikan
Sumber : Kementerian Digital

Sistem Perisikan Pertama Di Malaysia, Pantau Aktiviti Penjualan Data Peribadi Di Laman Gelap Akan Diperkenalkan

Sistem Perisikan Pertama Di Malaysia, Pantau Aktiviti Penjualan Data Peribadi Di Laman Gelap Akan Diperkenalkan

KUALA LUMPUR, 18 FEBRUARI 2025 – Kementerian Digital bakal  memperkenalkan satu sistem perisikan untuk memantau aktiviti penjualan data  peribadi di laman sesawang gelap pada suku kedua tahun ini. 

Menteri Digital Gobind Singh Deo, ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, berkata  Projek Keupayaan Automasi Sokongan Perisikan Bagi Pengurusan Kes Ketirisan  Data Peribadi adalah sistem perisikan pertama di Malaysia yang bertujuan untuk  memantau aktiviti penjualan data peribadi di laman gelap.  

“Projek ini dibangunkan berikutan peningkatan kebimbangan terhadap isu penjualan  dan transaksi data peribadi melalui platform beli-belah dalam talian termasuk laman  sesawang gelap. Projek ini akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini,” kata  Gobind. 

Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Digital, melalui Pesuruhjaya  Perlindungan Data Peribadi (PDP), dalam menangani krisis keselamatan digital  global yang semakin membimbangkan. 

Kementerian Digital, melalui Pesuruhjaya PDP, juga sedang giat meningkatkan  aktiviti penguatkuasaan, memperhebat program advokasi serta menaiktaraf perisian,  aplikasi dan keselamatan yang digunapakai dalam mengawal selia undang-undang  keselamatan data peribadi seperti :

a) Aktiviti pemeriksaan sistem data peribadi di bawah Seksyen 101, Akta 709  pada tahun 2025 akan ditingkatkan sekurang-kurangnya 30% berbanding  tahun 2024. Selain aktiviti pemeriksaan di premis syarikat dan organisasi,  Pesuruhjaya PDP juga akan meningkatkan lagi aktiviti penilaian kendiri  secara atas talian bagi meningkatkan pematuhan syarikat dan organisasi  dalam memproses data peribadi.

b) Meningkatkan lagi aktiviti serbuan berdasarkan aduan pelanggaran data dan  insiden siber yang berlaku di syarikat dan organisasi yang memproses data  peribadi dengan transaksi komersial.

c) Membuka pejabat Pesuruhjaya PDP di beberapa lokasi seluruh negara bermula dengan pembukaan pejabat di Zon Sabah dan Sarawak dan  kemudian diikuti dengan zon yang ditentukan bagi memudahcara  penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serbuan di negeri-negeri di  setiap zon yang berkenaan.

d) Memperhebatkan program advokasi dan kesedaran mengenai kepentingan  pematuhan pemprosesan data peribadi dengan transaksi komersial  berdasarkan Prinsip-prinsip Perlindungan Data Peribadi.

“Selain itu, Pesuruhjaya PDP akan melaksanakan Projek Pensijilan Information  Security and Privacy Management System (ISPMS) berlandaskan Standard ISO/IEC  27001 Information Security Management System (ISMS) dan ISO/IEC 27701 Privacy  Information Management System (PIMS) bagi memastikan keselamatan perisian,  aplikasi, sistem maklumat dan privasi entiti pengawal selia Akta 709 sentiasa berada  di tahap optimum mengikut piawaian antarabangsa,” kata Gobind. 

“Dalam usaha melahirkan kepakaran siber negara, CyberSecurity Malaysia, sebuah  agensi di bawah Kementerian Digital, akan menubuhkan Akademi Keselamatan  Siber Malaysia, sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’  Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada September tahun lalu. Langkah ini mendukung  aspirasi Kementerian Digital untuk mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang  keselamatan siber dengan menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan dan  Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).” 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.