Siakap Keli
besi barbel jatuh
Kredit: Times of India

Besi Barbel Jatuh Atas Leher, Atlet Angkat Berat India Maut

Besi Barbel Jatuh Atas Leher, Atlet Angkat Berat India Maut

Rajasthan — Atlet angkat berat dari India, Yashtika Acharya dilaporkan meninggal dunia selepas besi barbel seberat 270 kilogram jatuh di atas lehernya ketika sesi latihan di sebuah gim pada Selasa.

Memetik laporan Hindustan Times, polis mengesahkan bahawa leher atlet yang berusia 17 tahun itu patah akibat dihempap besi barbel tersebut.

Acharya yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Kebangsaan Remaja telah dikejarkan ke hospital selepas insiden itu dan apabila tiba di sana kakitangan perubatan mengisytiharkan bahawa dia telah meninggal dunia.

Pegawai polis tempatan, Vikram Tiwari berkata kejadian itu berlaku ketika jurulatih mengawasi Acharya ketika sesi angkat berat. Susulan itu, dia juga mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, keluarga Acharya tidak memfailkan sebarang aduan berkaitan kejadian terbabit. Pihak berkuasa juga telah menyerahkan mayat Acharya kepada mereka selepas proses bedah siasat dijalankan.

Sementara itu, video yang memaparkan kejadian tersebut juga telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.

Pemergian Acharya juga diratapi ramai kerana dia telah mencapai kejayaan yang ketara di awal kerjayanya dan menjadi harapan untuk negara itu. Rakan-rakan atlet, jurulatih dan peminat memberi ucapan takziah dan mengenang dedikasi serta semangat Acharya untuk sukan tersebut.

Kejadian seperti ini bukan pertama kali berlaku, khususnya di gim. Pada 2023, seorang lelaki berusia 27 tahun maut selepas lehernya patah dihempap barbel seberat 100 kilogram di wilayah Henan, China.

Berdasarkan video berdurasi 29 saat yang tular, ia mendedahkan individu itu bergelut mengangkat kembali alat pemberat tersebut sebelum terjatuh atas lehernya.

Perkara itu memberi tekanan terhadap kepala mangsa yang berada di bangku senam.

Dalam tempoh 25 saat, mangsa cuba untuk menyelamatkan diri dengan menanggalkan tali pinggang angkat berat.

BACA: Gara-Gara Tak Mampu Angkat, Wanita Maut Dihempap Barbel Seberat 180 kg

Walau bagaimanapun, mangsa mula mengalami kekejangan teruk sebelum sukar bernafas.

Dalam pada itu, seorang pempengaruh kecergasan di Indonesia, Justyn Vicky juga dilaporkan meninggal dunia ketika mengangkat barbel seberat hampir 210 kilogram.

Menerusi video tular, pemberat berkenaan jatuh ke lantai sewaktu dia melakukan ‘squat’. Dengan barbel masih di bahunya, Vicky dilaporkan patah leher ketika cuba mengangkat beban itu.

Sumber: Hindustan Times, Times of India

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.