Cinta Berputik Di Hospital, Lelaki Kahwini Wanita Dilanggarnya
Sepasang suami isteri di China baru-baru ini meraih perhatian ramai apabila takdir menyatukan mereka melalui sebuah kemalangan kereta, lapor South China Morning Post.
Lelaki yang dikenali sebagai Li, 36, dan isterinya yang berusia 23 tahun telah melangsungkan perkahwinan di wilayah Hunan pada Februari ini.
Difahamkan, kisah percintaan mereka bermula menerusi satu ‘pertemuan’ tidak dirancang pada 2023.
Ketika itu, Li yang memandu kereta dalam keadaan tergesa-gesa secara tidak sengaja terlanggar seorang wanita yang sedang menunggang basikal elektrik.
Panik dengan situasi yang berlaku, Li segera keluar daripada kenderaannya dan memeriksa wanita tersebut, selain meminta maaf kepadanya.
Menurut SCMP, wanita tersebut menerima permohonan maaf daripada Li dan memberitahu tiada apa yang perlu dirisaukan ketika itu.
Malah, ibu bapa kepada wanita berkenaan juga tidak menyalahkan Li dan tidak menuntut sebarang pampasan.
Bagaimanapun pemeriksaan yang dibuat di hospital, wanita berkenaan kemudian disahkan patah tulang selangka.
Li pernah menolak cinta isterinya kerana usia
Sebagai balasan, Li mengambil keputusan untuk menjaga wanita tersebut di hospital setiap hari.
Di hospital, mereka kerap berkomunikasi dan berkongsi kisah peribadi antara satu sama lain sehingga hubungan mereka menjadi intim.
Lebih romantis, wanita tersebut turut meluahkan isi hatinya kepada Li, kira-kira tiga minggu selepas kemalangan tersebut berlaku.
Namun begitu, Li menolak hasrat cinta tersebut secara baik selepas mengambil kira perbezaan umur antara mereka.
Sehinggalah satu hari, Li menerima ajakan wanita berkenaan untuk keluar menonton filem bersama-sama sebagai syarat untuk melangsaikan ‘hutang’ melanggaranya.
Sejak daripada hari tersebut, cinta antara mereka mula berputik dan mengambil keputusan untuk berkahwin pada Februari tahun ini.
Bekerja sebagai jurujual dan usahawan yang memiliki hutang yang banyak, Li menganggap isterinya adalah wanita yang ‘berani’ kerana sudi berkahwin dengannya.
Lebih-lebih lagi, wanita tersebut baru sahaja menamatkan pengajian di universiti dan melangkah ke alam pekerjaan.
Li juga terharu apabila wanita tersebut menolak hantaran berjumlah US$26,000 (kira-kira RM114,000) yang disediakan dan meminta wang tersebut dilaburkan untuk masa depan mereka berdua.
BACA: OKU Maut Di Stesen LRT: MOT Arah Kaji Semula Aspek Keselamatan Di Semua Stesen
Sumber: South China Morning Post