Siakap Keli
Mercedes Benz "Rumah Sakit Bergerak"
Kredit: YouTube KANG DEDI MULYADI CHANNEL

Mercedes Benz Diubah Menjadi “Rumah Sakit Bergerak”

Mercedes Benz Diubah Menjadi “Rumah Sakit Bergerak”

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, sekali lagi mencuri tumpuan apabila mencetuskan perubahan besar dalam usaha meningkatkan ‘kecekapan’ perbelanjaan kerajaan negeri.

Terbaru, beliau mengarahkan agar kenderaan rasmi jenis Mercedes Benz Sprinter dialih fungsi menjadi “rumah sakit bergerak” bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Menurut Kompas.com, arahan ini diumumkan ketika Dedi meninjau kenderaan rasmi kerajaan negeri di Gedung Pakuan, Bandung.

Ketika meneliti barisan kenderaan rasmi, Dedi mempertikaikan usia dan kegunaan kenderaan yang tersedia.

Sewaktu tiba di hadapan Mercedes Benz V-Class, beliau segera mengarahkan Setiausaha Daerah (Sekda) Jawa Barat, Herman Suryatman, untuk mengubahnya menjadi rumah sakit bergerak.

“Pak Sekda, alihkan fungsi kenderaan ini menjadi hospital bergerak,” ujar Dedi dalam video yang kini tular di media sosial.

Beliau menegaskan bahawa rumah sakit itu harus dilengkapi dengan kemudahan perubatan yang menyeluruh, termasuk pemeriksaan jantung, penjagaan kesihatan ibu mengandung serta saringan kanser dan ujian darah.

BACA: 12 Individu Terperangkap Dalam Lif Di Sebuah Hotel

Selain menukar kenderaan rasmi menjadi rumah sakit bergerak, Dedi juga mengambil langkah tegas dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri dengan mengecilkan jumlah kenderaan rasmi yang tidak diperlukan.

Beliau memerintahkan agar kereta Toyota Camry keluaran 2007 dilelong kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi.

“Seorang gabenor perlu ada hospital bergerak, tetapi bukan untuk kegunaan peribadi saya.

“Kereta ini jarang digunakan, jadi lebih baik kita manfaatkan untuk rakyat,” kata bekas Bupati Purwakarta itu.

Sebagai alternatif, Dedi memilih menggunakan Toyota Innova Zenix yang sebelum ini digunakan oleh gabenor terdahulu.

Sementara itu, Toyota Alphard miliknya diserahkan kepada Sekda Herman sebagai kenderaan rasmi baharu.

Dedi turut menyusun semula penggunaan kenderaan rasmi kerajaan negeri agar lebih memberi manfaat kepada rakyat.

Beberapa motosikal rasmi telah dipindahkan untuk kegunaan Jabatan Pengangkutan dan Pasukan Polis Pamong Praja (Satpol PP).

Motosikal Honda CBR kini dijadikan kenderaan operasi Jabatan Pengangkutan, manakala Royal Enfield dan BMW diserahkan kepada Satpol PP serta pimpinan pejabat gabenor.

Langkah ini selari dengan visi Dedi untuk mengurus aset kerajaan secara lebih berkesan dan memastikan setiap kenderaan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

BACA: Pope Francis Dalam Keadaan ‘Kritikal’ – Vatican

Tindakan Dedi dalam mengoptimumkan bajet negeri ini mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Ramai yang memuji pendekatan praktikalnya dalam mengurus aset kerajaan, sementara ada juga yang menantikan pelaksanaan rumah sakit bergerak yang diusulkannya.

Sebelum ini, Dedi turut membuat keputusan tegas dengan menggantikan seorang pengetua di sebuah sekolah.

Difahamkan, ini kerana bekas pengetua itu didapati melanggar peraturan berkaitan penganjuran lawatan pelajar ke luar wilayah Jawa Barat.

Ketua Jabatan Pendidikan Jawa Barat, Wahyu Mijaya, mengesahkan bahawa pemangku pengetua telah dilantik bagi meneruskan tugas pentadbiran sementara menunggu pelantikan rasmi baharu.

BACA: Pemandu Maut, Penumpang Cedera Lori Jatuh Gaung Di Kuala Krai

Sumber: Kompas.com

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.