Siakap Keli
Wanita hilang maut dibunuh
Sumber: Bangkok Post, Nation Thailand

Wanita Hilang Lebih 3 Bulan Ditemui Maut Dibunuh

Wanita Hilang Lebih 3 Bulan Ditemui Maut Dibunuh

Seorang wanita warga Thailand yang dilaporkan hilang sejak tiga bulan lalu ditemui maut dalam keadaan tragis.

Mayatnya yang rentung dijumpai di kawasan pergunungan berhampiran bandar Salalah, Oman.

Polis tempatan telah mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah milik Athitiya “Mind” Wilachan, 29, selepas ujian DNA dilakukan.

Penemuan ini didedahkan oleh seorang wanita Thailand yang menetap di Oman, dikenali sebagai Khadeeja MadamOman Alhashmi di media sosial.

BACA: Kanak-Kanak Dilapor Maut, Tangan Tersangkut Lubang Air Kolam Renang

Athitiya, berasal dari daerah Mae Mo, Lampang, dilaporkan berhijrah ke Oman pada 2020 untuk bekerja di sebuah restoran.

Tidak lama selepas itu, dia mula tinggal bersama teman lelakinya, seorang lelaki warga Bangladesh.

Rakan-rakannya menyatakan bahawa Athitiya sering berhubung secara dalam talian dan berkongsi gambar di media sosial, tetapi tidak pernah mendedahkan wajah teman lelakinya.

Pada Oktober lalu, Athitiya pernah memuat naik gambar dirinya di atas katil hospital dengan dakwaan bahawa dia telah didera secara fizikal oleh teman lelakinya.

Pada bulan berikutnya, seorang rakan sempat bertemu dengannya di sebuah pangsapuri dan mendapati dia mengalami lebam di seluruh badan serta sukar untuk bercakap.

Selepas pertemuan itu, difahamkan tiada sesiapa lagi dapat menghubungi atau melihatnya.

BACA: Hilang Sejak Januari 2024, Rangka Manusia Ditemui Dipercayai Milik Jurujual Kereta

Kehilangannya mula menjadi perhatian selepas rakan-rakannya menguar-uarkan kes ini di media sosial.

Keluarganya kemudian membuat laporan kepada Yayasan Pavena untuk Kanak-Kanak dan Wanita di Thailand bagi meminta bantuan mengesan keberadaan Athitiya.

Hasil siasatan polis Oman akhirnya membawa kepada penemuan mayat rentung di kawasan pergunungan pada 21 Februari lalu.

Menurut laporan, seorang rakyat Bangladesh memberitahu rakan Athitiya bahawa teman lelakinya terlibat dalam aktiviti jenayah.

Lelaki itu didakwa telah membunuh dan membakar mayat Athitiya bagi menghapuskan bukti.

Pihak polis kemudiannya bertindak berdasarkan maklumat ini dan menemui mayat yang akhirnya disahkan sebagai Athitiya melalui ujian DNA.

Lebih mengejutkan, teman lelaki Athitiya telah ditahan dua minggu lalu atas dakwaan terlibat dalam aktiviti perdagangan dadah.

Polis kini sedang menyiasat lebih lanjut kes ini bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.

BACA: Disangka Sakit Gigi Biasa, Lelaki Meninggal Dunia Usai ‘Ditidurkan’

Sumber: Bangkok Post, Nation Thailand

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.