Israel Umum Akan Hentikan Kemasukan Barangan & Bekalan Ke Gaza
Israel mengumumkan penghentian sepenuhnya kemasukan semua barangan dan bekalan ke Semenanjung Gaza.
Tindakan itu dipercayai sebagai tekanan terhadap Hamas supaya menerima cadangan baharu gencatan senjata yang lebih panjang.
Justeru, Hamas menyifatkannya sebagai “pemerasan murah, jenayah perang dan serangan terang-terangan” terhadap perjanjian gencatan senjata sedia ada.
Gencatan senjata fasa pertama, yang membolehkan peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza, tamat pada Sabtu.
Israel dan Hamas masih belum mencapai kata sepakat mengenai fasa kedua, yang melibatkan pembebasan baki tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran kepada pengunduran tentera Israel serta perjanjian gencatan senjata berkekalan.
Cadangan baharu Israel disokong AS
Menurut Israel, cadangan baharu itu dikemukakan oleh utusan Timur Tengah Amerika Syarikat, Steve Witkoff, yang mencadangkan pelanjutan gencatan senjata sepanjang bulan Ramadan dan perayaan Paskah Yahudi yang berakhir pada 20 April.
Di bawah cadangan itu, Hamas perlu membebaskan separuh daripada baki tebusan pada hari pertama, manakala selebihnya akan dibebaskan setelah perjanjian gencatan senjata kekal dimuktamadkan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa rundingan bagi fasa seterusnya harus melibatkan lebih ramai tebusan yang dibebaskan.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, pula menegaskan bahawa Israel tidak akan menerima peralihan automatik antara fasa-fasa gencatan senjata.
“Kami telah memenuhi semua komitmen dalam fasa pertama sehingga hari terakhir, iaitu semalam. Pendekatan kami adalah, dalam tempoh rundingan, tebusan mesti dibebaskan,” katanya dalam sidang media.
Namun, Hamas memberi amaran bahawa sebarang cubaan untuk melengahkan atau membatalkan perjanjian sedia ada akan membawa “kesan kemanusiaan” terhadap tebusan.
Hamas turut menegaskan bahawa mereka hanya akan melepaskan kesemua tebusan jika Israel bersetuju untuk membebaskan lebih ramai tahanan Palestin, mencapai gencatan senjata tetap dan menarik balik tenteranya dari Gaza.
Pertikaian berterusan dalam gencatan senjata
Gencatan senjata selama enam minggu yang pertama menyaksikan Hamas membebaskan 25 tebusan Israel serta menyerahkan mayat lapan lagi mangsa, sebagai pertukaran dengan pembebasan hampir 2,000 tahanan Palestin oleh Israel.
Tentera Israel turut menarik diri dari kebanyakan kawasan di Gaza dan membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu.
Namun, tempoh gencatan senjata ini sering ‘dicemari’ pertikaian, dengan kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar perjanjian.
Serangan udara Israel telah membunuh puluhan rakyat Palestin yang didakwa mendekati tentera Israel atau memasuki kawasan larangan semasa gencatan senjata.
Pada Ahad, tentera Israel melancarkan serangan ke atas dua lelaki Palestin yang didakwa sedang memasang bahan letupan di utara Gaza.
Hamas pula menuduh Israel terus menyekat bantuan kemanusiaan sepanjang tempoh perang, meskipun tekanan antarabangsa semakin meningkat.
Badan-badan bantuan dan agensi PBB sebelum ini telah menuduh Israel tidak membenarkan bekalan yang mencukupi memasuki Gaza, menyebabkan krisis kebuluran yang semakin meruncing.
BACA: Ini Senarai Lokasi Bazar Ramadan Di Selangor & KL Bagi Tahun 2025
BACA: Suasana Solat Sunat Tarawih Di Masjid Terbesar Asia Tengah
BACA: Rakyat Palestin Tunaikan Solat Tarawih Di Celah Runtuhan Masjid
Sumber: AP News