Siakap Keli
era fm mohon maaf
Kredit: Era FM/ Astro

Era FM & Astro Audio Mohon Maaf Isu Video Tular

Era FM & Astro Audio Mohon Maaf Isu Video Tular

Astro Audio membuat permohonan maaf berikutan insiden satu rakaman video yang tular baru-baru ini.

Menerusi permohonan maaf bertulis, syarikat tersebut melahirkan kekesalan pihak mereka yang melibatkan Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat,” ujar syarikat tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, ketiga-tiga penyampai radio telah mengakui kesilapan mereka dan permohonan maaf secara terbuka telah dibuat.

“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini. Selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” jelasnya lagi.

Syarikat tersebut turut menegaskan komitmen mereka terhadap kepercayaan pendengar radio. Pihaknya juga akan memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh.

“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan pendengar kami,” tambahnya.

Dalam pada itu, pihak Astro Audio mengesahkan mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa. Ia bagi memastikan pematuhan pihaknya terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.

“Kami amat menghargai maklum balas dari para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar dan memperbaiki diri,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan tertinggi Era FM turut memuat naik permohonan maaf terbuka di laman Facebook milik saluran radio tersebut.

“Kami pihak pengurusan tertinggi ERA menyusun jari memohon kemaafan berkaitan satu video yang dimuat naik baru-baru ini di platform media rasmi kami berkaitan aksi kurang menyenangkan daripada penyampai radio kami, hingga mencetuskan perasaan kurang senang kepada sahabat-sahabat kami yang berbangsa India, terutamanya beragama Hindu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, pihak saluran radio itu akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.

“Selepas ini, kami akan pastikan insiden yang sama tidak akan berulang dan kami kekal sentiasa peka dengan perkara yang berlaku di sekeliling kami,” tegas mereka.

BACA: Jangan Klik Pautan SMS Menyamar Pihak JPJ

BACA: Permohonan Ibu Bapa Zayn Rayyan Batal Pertuduhan Abai Anak Ditolak

Sumber: Astro Audio Via Bernama, Era FM

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.