Kreatif, Remaja Cipta Telefon Lipat Sendiri Guna Mesin Cetak 3D
Seorang remaja lelaki di China berjaya mencipta telefon pintar boleh lipat dengan menggunakan mesin pencetak 3D dan komponen dalaman telefon bimbit lama, lapor South China Morning Post.
Lan Bowen yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Yiling di Yichang telah memuat naik sebuah video memaparkan proses pembuatan telefon pintarnya di media sosial pada 16 Februari lalu.
Apa yang lebih menarik, ia merupakan model jenis menegak dengan reka bentuk lipatan ke luar, di mana skrin kekal di bahagian luar apabila dilipat.
Lan berkata, idea untuk mencipta telefon pintar berkenaan muncul selepas dia mendapati pelbagai model telefon menegak dengan lipatan ke dalam sudah tersedia di pasaran.
Remaja cipta telefon lipat sendiri dapat perhatian ramai
Di samping itu, teknologi yang dihasilkan turut meraih pujian orang ramai dan syarikat pengeluar telefon pintar.
Lebih mengejutkan lagi apabila video berdurasi kurang dari enam minit itu telah ditonton sebanyak 4.7 juta kali dan menerima 400,000 tanda suka.
Menurut SCMP, model yang dicipta oleh Lan memiliki ketebalan 16mm apabila dilipat separuh.
“Saya menggelarnya sebagai mesin kad makanan kerana saiz panjang dan lebarnya sama seperti kad makanan kantin apabila dilipat, walaupun ia jauh lebih tebal,” jelasnya.
Difahamkan, bingkai telefon itu dibuat menggunakan pencetak 3D yang dibelinya pada tahun lalu dengan harga 2,000 yuan.
Manakala bahagian teras mesin pula dipasang dengan komponen yang diambil daripada telefon lama milik ahli keluarganya.
Memiliki fungsi sama seperti telefon pintar lain
Dalam masa sama, dia juga membeli beberapa barang kecil secara dalam talian untuk melengkapkan ciptaannya.
Lan turut menghadapi cabaran apabila fungsi skrin sentuh tidak berfungsi ketika telefon dibuka. Namun begitu, dia berjaya menyelesaikan perkara tersebut dengan melakukan penambahbaikan.
“Saya mendapati skrin terdorong keluar apabila telefon dibuka, jadi saya mengubah reka bentuk telefon pintar ini
“Malah, saya melakukan banyak ujian dan merosakkan beberapa skrin sebelum akhirnya berjaya menyelesaikan masalah ini
“Telefon pintar saya masih berada pada peringkat yang sangat asas dan banyak kekurangan. Namun, ia boleh berfungsi seperti telefon pintar lain,” ujarnya lagi.
BACA: Arus Laut Paling Deras Akan Perlahan Dengan Pencairan Lapisan Ais Antartika
Sumber: South China Morning Post