Siakap Keli
mama kejar budak
Gambar: Bernama

Anak Beritahu “Mama, Saya Kejar Budak”, Kata Jiran

Anak Beritahu “Mama, Saya Kejar Budak”, Kata Jiran

PETALING JAYA, 11 Mac (Bernama) — Seorang suri rumah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa anak lelakinya berusia 10 tahun ada mengejar Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin di kawasan apartment mereka pada hari kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023.

Norzaini Zainol, 39, jiran kepada ibu bapa Zayn Rayyan berkata beliau diberitahu mengenai perkara tersebut semasa menemani anaknya menunggu van sekolah di tangga Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada hari kejadian.

“Saya panggil anak saya kerana van sekolahnya sudah sampai, kemudian anak tepuk saya dari belakang dan memberitahu saya ‘mama, saya kejar budak’.

“Saya ingat dia bermain kejar-kejar dengan seorang lagi rakannya … saya tidak sangka dia kejar Zayn. Selepas itu kira-kira 12.12 tengah hari, van sekolah anak sampai dan anak saya terus naik van,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada hari ke-11 perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak itu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Pada 21 Feb lepas, anak lelakinya yang juga saksi pendakwaan ke-14 selesai memberi keterangan dalam prosiding tertutup di hadapan Syahliza.

Terdahulu, Norzaini memaklumkan telah melihat ibunya bersama Zayn Rayyan berjalan ke arah tangga dan melintasinya untuk ke taman permainan pada 12.05 tengah hari selepas ibunya meletakkan motosikalnya di kawasan parkir, dipercayai baru pulang daripada mengambil Zayn Rayyan dari sekolah.

“Saya nampak Zayn pakai baju t-shirt (kemeja-T) putih dengan lencana sekolah dan berseluar trek warna gelap. Tapi pakaian ibu Zayn saya tidak ingat,” kata saksi itu.

Menurut saksi yang tinggal di apartment berkenaan sejak 2012, beliau tidak mengenali ibunya dan Zayn Rayyan namun sering melihat dua beranak itu dua atau tiga kali dalam seminggu ketika dia mengambil anaknya pulang dari sekolah.

BACA: Kes Ismail Sabri: 36 Saksi Selesai Dirakam Keterangan, 23 Lagi Akan Dipanggil 

Raja Zaizul Faridah: Puan kenal Zayn Rayyan?

Norzaini: Saya tak tahu namanya tetapi selalu melihat dia. Saya hanya tahu namanya melalui hebahan orang hilang.

Raja Zaizul Faridah: Bila puan tahu Zayn hilang?

Norzaini: Kira-kira 12.45 tengah hari selepas suami saya beritahu melalui mesej tentang kehilangan budak kepada saya.

Raja Zaizul Faridah: Masa terima mesej itu, puan tahu tak budak yang melintas depan puan ialah Zayn yang hilang?

Norzaini: Ya saya tahu dan saya terkejut.

Sebelum itu, seorang lagi jiran kepada ibu bapa Zayn Rayyan, Rashidah Rajali, 37, menafikan beliau mempunyai memori yang lemah ketika memberi kenyataan mengenai perubahan pakaian ibu Zayn pada hari kejadian (5 Dis 2023).

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Haresh Mahadevan yang mencadangkan sekiranya perubahan pakaian itu fakta yang benar, saksi pasti akan memberitahu media ketika ditemu bual akhbar Sinar Harian dan portal berita Scoop.

Saksi turut menafikan bahawa keterangan yang diberikan di mahkamah merupakan satu fakta yang telah dimanipulasi dan berkata “saya hanya beritahu apa yang saya tahu”.

Rashidah yang memberi keterangan di mahkamah pada 18 Feb lepas berkata pada hari kejadian (5 Dis) beliau telah terserempak dengan ibu Zayn sebanyak dua kali, masing-masing pada 12.15 dan 12.35 tengah hari namun pakaian yang dipakai wanita itu adalah berbeza.

Beliau berkata pada 12.15 tengah hari, ibu Zayn memakai tudung hitam dengan baju putih dan seluar atau kain berwarna hitam manakala pada 12.35 tengah hari, dia dilihat memakai tudung bercorak warna gelap dengan baju yang berbeza.

Pada 13 Jun 2024, kedua-dua pasangan itu berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya. Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Perbicaraan bersambung esok.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.