Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Meriah, Suasana Tarawih Di Masjid Taman Semarak Buat Ramai Kagum
Sepanjang bulan Ramadan ini, seluruh umat Islam sudah tentunya tidak melepaskan peluang untuk berlumba-lumba mengerjakan ibadah dalam mencari keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
Bermula dari berpuasa pada siang hari sehingga mengerjakan ibadah seperti solat sunat Tarawih di malam hari.
Lebih-lebih lagi, dalam bulan suci ini Allah SWT melipat ganda ganjaran pahala kepada hamba-hamba termasuk satu malam yang dinanti-nantikan oleh semua muslimin dan muslimat, malam Lailatul Qadar.
Jadi, tidak hairan mengapa kebanyakan masjid dan surau-surau penuh dengan jemaah yang mengimarahkan suasana di rumah Allah itu dengan pelbagai aktiviti seperti membaca Al-Quran dan bersedekah.

Begitulah suasana di Masjid Taman Semarak Nilai yang penuh ceria dihadiri dengan jemaah.
Dalam video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @hafif_bukhari memaparkan keceriaan para jemaah yang hadir untuk menunaikan solat sunat tarawih.
Umum mengetahui solat tarawih dilakukan dalam jumlah rakaat yang banyak (lapan dan 20 rakaat) berbanding solat sunat lain.
Kadangkala, ia boleh menyebabkan rasa lenguh pada bahagian anggota badan khususnya kaki kerana berdiri terlalu lama.

Menariknya dalam klip berdurasi 30 saat ini, para jemaah tidak kira tua ataupun muda duduk berbaris dalam satu barisan melakukan aktiviti ‘regangan’.
Difahamkan, sesi ini dilakukan setiap kali selesai empat rakaat pertama solat itu.
Menurut Hafif, sesi ini merupakan alternatif sendiri pengerusi masjid Taman Semarak untuk memeriahkan suasana.
Kemeriahan aktiviti ini bukan sahaja dilakukan oleh jemaah lelaki, malah jemaah perempuan juga turut serta mengimarahkannya.
Bermula dari depan hingga saf belakang, semua jemaah yang hadir jelas terpancar senyuman diraut wajah menikmati ‘urutan’.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memuji tindakan yang dilakukan di masjid berkenaan.
“Wehh hahaha dah macam vibe vibe join kem,” seloroh seorang pengguna.
“Best lah macam ni, mesra je semua,” komen seorang netizen.
“Bagus masjid macam ni,” puji seorang lagi.
Sumber: TikTok @hafif_bukhari