Remaja Hamil Maut Dibunuh Tragis
Seorang remaja hamil sembilan bulan menjadi mangsa pembunuhan tragis apabila ditipu oleh seorang wanita dengan tawaran pakaian bayi percuma.
Difahamkan, suspek bertindak kejam dengan mengeluarkan bayi mangsa secara paksa sebelum membunuh mangsa, menurut pihak berkuasa tempatan.
Mangsa, 16, ditemui mati dengan kesan luka dan dicekik menggunakan kabel internet sebelum mayatnya ditanam di belakang kediaman milik suspek bersama suaminya.
Menurut Ketua Polis Caio Alexandre, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan luka berbentuk ‘T’ pada bahagian perut mangsa, menunjukkan bayi dikeluarkan ketika mangsa masih bernyawa.
Mangsa juga dipercayai cuba melawan, namun maut akibat kehilangan banyak darah.
Selepas jenayah itu, suspek wanita pergi ke hospital mendakwa dia telah melahirkan bayi di rumah.
Bagaimanapun, pihak hospital mula curiga dengan keadaan suspek dan menjalankan ujian yang akhirnya membuktikan dia tidak pernah hamil.
Suspek cuba daftarkan bayi sebagai anak kandung
Suspek dan suaminya kemudian ditahan di sebuah hospital di Cuiabá ketika cuba mendaftarkan bayi tersebut sebagai anak mereka.
Meskipun begitu, suami suspek mendakwa dia tidak mengetahui isterinya telah membunuh mangsa dan percaya bayi tersebut memang anak kandungnya.
Malah, dia sempat berkongsi gambar bayi berkenaan di media sosial, mengumumkan dirinya telah menjadi seorang bapa.
Walaupun pada awalnya disyaki berkomplot, suspek wanita akhirnya mengaku melakukan jenayah itu seorang diri, lapor portal berita Brazil, g1.
Difahamkan, suspek wanita baru sahaja mengalami keguguran tetapi merahsiakan perkara itu daripada keluarganya.
Dia kemudian menipu mangsa dengan menawarkan pakaian bayi secara percuma melalui WhatsApp dan turut membayarkan tambang pengangkutan untuk membawanya ke rumah mereka.
Dalam pada itu, kes ini masih dalam siasatan oleh Bahagian Perlindungan Orang Awam dan Pembunuhan Brazil, sementara suami suspek dan dua suspek lain akan dipanggil untuk siasatan lanjut.
BACA: Angkasawan ‘Terkandas’ Bakal Pulang Ke Bumi
BACA: Pempengaruh Maut Dibunuh Tragis Ketika ‘Live’
BACA: Rangka Manusia Ditemui Dalam Kereta Terbiar 5 Tahun Di Asrama Polis
Sumber: New York Post