Berbeza Daripada Planet Lain, Ini Sebab Zuhrah Berputar Songsang
Ruang angkasa merujuk kepada kawasan luas di luar atmosfera Bumi yang mengandungi planet, bintang, galaksi dan pelbagai fenomena kosmik. Ia merupakan satu bidang kajian yang menarik dalam sains astronomi dan astrofizik.
Dalam sistem suria, Matahari merupakan pusat kepada seluruh planet yang mengorbit dalam jarak dan tempoh yang tertentu. Terdapat lapan planet dalam sistem solar bermula dengan Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun.
Pluto telah dikategorikan sebagai planet kerdil kerana ia tidak mencukupi kriteria sebagai sebuah planet oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) pada tahun 2006.
Semua planet berputar melawan arah jam, kecuali hanya satu planet berputar mengikut arah jam. Arah planet berputar adalah arah yang sama matahari berputar iaitu melawan arah jam.
Untuk makluman, satu-satunya planet yang berputar mengikut arah jam ialah planet Zuhrah.
Jadi, kali ini kami di SK ingin berkongsi dengan anda mengapa planet ini berputar pada paksinya mengikut arah jam iaitu dari timur ke barat.
Planet Zuhrah miliki ‘keistimewaan’ sendiri
Menurut portal NASA, planet Zuhrah berputar secara perlahan iaitu dari timur ke barat yang mana berbeza dengan kebanyakan planet lain yang berputar dari barat ke timur seperti Bumi.
Difahamkan, satu hari di Zuhrah (satu putaran pada paksinya) mengambil masa kira-kira 243 hari Bumi. Ia juga mengorbit Matahari lebih laju berbanding Bumi, iaitu satu tahun di Zuhrah hanya mengambil masa kira-kira 225 hari di Bumi.
Menurut portal World Atlas pula, pada awal pembentukan Zuhrah, ia berputar melawan arah jam seperti planet-planet lain.
Berdasarkan pemerhatian terhadap cakera protoplanet Zuhrah, adalah hampir mustahil untuk menyatakan bahawa Zuhrah telah berputar mengikut arah jam sejak awal pembentukannya.
World Atlas berkata, hal ini kerana planet berkenaan telah terbentuk dengan putaran dalam arah lawan jam.
Zuhrah dipercayai mengalami satu pelanggaran besar
Dalam pada itu, tarikan graviti planet-planet saling menarik antara satu sama lain dan bergerak dengan rapat antara satu sama lain.
Pelanggaran antara planet merupakan kejadian yang biasa, malah setiap planet dalam sistem suria dipercayai pernah mengalami satu atau lebih pelanggaran pada suatu ketika dahulu.
Menurut portal World Atlas, peristiwa ini juga tidak terkecuali bagi Zuhrah, yang berkemungkinan mengalami sekurang-kurangnya satu pelanggaran besar dengan planet lain sehingga menyebabkan ia berputar mengikut arah jam.
Hipotesis ini turut menjelaskan mengapa Zuhrah berputar dengan sangat perlahan. Ia memerlukan 243 hari Bumi untuk melengkapkan satu putaran berbanding Bumi yang hanya mengambil masa 24 jam.
BACA: Dipaksa Dewasa Sebelum Usia, Realiti Anak Chow Kit Ini Buat Ramai Mengalir Air Mata
Sumber: NASA, World Atlas