Siakap Keli
jualan produk khairul aming
Kredit: Khairul Aming

Jualan Produk Khairul Aming Cecah RM42 Juta Tahun Lepas

Jualan Produk Khairul Aming Cecah RM42 Juta Tahun Lepas

Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mendedahkan bahawa jumlah jualan produk-produk makanannya telah mencecah sebanyak RM42 juta pada tahun 2024.

Menerusi video yang dimuat naik di laman X, dia yang juga lebih mesra dipanggil sebagai KA berkata jualan meningkat dari tahun sebelumnya (2023) sebanyak 110% dengan jumlah pada ketika itu hanya RM20 juta.

“Imbas balik, dulu kita ambil masa lebih kurang tiga bulan untuk capai jualan RM1 juta, tapi sekarang Alhamdulillah kita berada di landasan yang betul untuk dapatkan jualan RM1 juta setiap minggu.

“Jadi dekat Kelantan sekarang ini sudah ada dua buah kilang, dua buah produk dan juga 100 kakitangan. Sekarang ini kita boleh hasilkan berbelas ribu unit produk setiap hari.

“Untuk bulan puasa tahun ini, permintaan sangat luar biasa, kita ada berpuluh ribu pesanan lagi yang kita belum pos. Itu kita akan selesaikan secepat mungkin,” katanya.

KA juga berkongsi mengenai ‘rahsia’ jualan produknya meningkat dengan sangat baik.

Menurutnya, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan termasuk melibatkan kaedah jualan yang kebanyakannya telah dilakukan secara penstriman langsung.

“Perubahan yang dilakukan untuk naikkan jualan, fokus kepada penstriman langsung, daripada dua tahun lepas KA perasan pasaran e-dagang dah mula beralih kepada penstriman langsung di mana interaksi dengan pelanggan jadi lagi kuat di mana kita dapat perbualan yang real-time.

“Pelanggan nak bagi maklum balas atau tanya soalan kita boleh jawab terus dan dia punya conversion masa tu jauh lagi tinggi berbanding jualan macam biasa.

“Jadi sebab tu mula dari pelancaran dari dulu lagi kita fokus pada siaran langsung, sebab kadang-kadang sejam boleh sampai hingga setengah juta jualan bergantung kepada perancangan dan pelaksanaan yang kita lakukan,” jelasnya.

Dia juga mendedahkan bahawa 70% daripada RM42 juta jualan yang diperoleh adalah dari penstriman langsung.

Selain itu, syarikatnya juga telah melakukan perubahan berkaitan pengeluaran produk. KA menjelaskan bahawa sebelum ini Sambal Nyet boleh dikeluarkan sebanyak 1,000 hingga 3,000 unit produk sehari.

Hal ini menyebabkan mereka tidak boleh memenuhi permintaan yang ada.

“Permintaan sangat  tinggi tapi bekalan sangat terhad dan menyebabkan sambal habis dijual dengan sangat laju.

“Untuk dendeng, hari pertama lagi kita dah tukar rancangan, di mana pengeluaran kena banyakkan terus sebab kita nak bagi pelanggan kita membeli dengan selesa,” ujarnya lagi.

Rancangan 2025

KA juga turut mendedahkan rancangan untuk tahun ini di mana dia akan kembangkan kilang ketiga yang akan mula beroperasi pada tahun ini di Kelantan. Lebih menarik, produk ketiga juga akan dilancarkan nanti.

Berhasrat untuk mengembangkan lagi ekonomi tempatan di Kelantan, KA berkata dia mempunyai sasaran yang sangat jelas.

“Ini menjadi bukti nyata, bila mana kita nak berniaga secara dalam talian, kita jalankan dekat mana-mana pun tiada masalah.

“Jadi ini dah masuk tahun kelima kita dah berniaga kat Kelantan dan Alhamdulillah ia berjalan dengan lancar. Kita akan cuba kembangkan lagi sebanyak yang boleh,” katanya.

Mengulas lanjut, dia juga ingin mengembangkan lagi pasukannya dan membangunkan penstriman langsung yang lebih kuat dengan kapasiti yang lebih besar.

BACA JUGA: Sampai Demam Cikgu Tengok Hasil Masakan, KA Beri ‘Silibus’ Masakan Termudah

“Kita juga akan lagi banyak ke luar negara untuk dapatkan ilmu pasal e-dagang dan penstriman langsung, bawa balik ilmu tersebut ke Malaysia dan gunakan ilmu itu untuk kongsikan kepada penjual-penjual tempatan mengenai  cara untuk naikkan lagi produk mereka terutama pemasaran langsung.

“Kita juga akan membimbing content creators atau affiliate yang nak belajar. KA nak bimbing dan kongsi dengan mereka ilmu yang KA ada supaya kita sama-sama tolong mereka untuk kembangkan lagi dunia e-dagang di Malaysia,” katanya.

KA turut berterima kasih kepada pasukan dan pekerjanya yang telah bekerja keras dalam mengembangkan perniagaannya. Dia juga berterima kasih kepada orang ramai yang banyak menyokong selama ini.

Sumber: Khairul Aming

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.