Pengendali Sebuah Laman Berita Facebook Ditemui Mati
Seorang peguam yang mengendalikan laman berita Facebook tempatan di salah satu negeri paling ganas di Mexico telah ditemui mati pada Jumaat, menurut kenyataan pendakwa raya di Guanajuato.
Mangsa, Iran Villarreal Belmont, sebelum ini pernah bertanding sebagai ahli majlis perbandaran bagi parti berhaluan tengah Movimiento Ciudadano di bandar San Luis de la Paz tahun lalu.

Menurut sumber polis, Villarreal dilaporkan hilang sejak Khamis apabila sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai menculiknya dari sebuah pejabat.
Mayatnya kemudian ditemui di tepi jalan dengan kesan tembakan, pada pagi Jumaat.
Pendakwa raya negeri dalam satu kenyataan menyatakan kematian Villarreal diklasifikasikan sebagai “jenayah terhadap kebebasan bersuara”.
BACA: Gempa Bumi Dilapor Berlaku Di Sumatera Utara
Untuk info, Villarreal menguruskan laman Facebook dikenali sebagai “Observatorio Ciudadano” yang memiliki sekitar 8,400 pengikut.
Beliau sering menerbitkan kandungan berkaitan isu semasa di bandar tempat tinggalnya.
Selain itu, beliau dikenali kerana sering mengkritik Datuk Bandar San Luis de la Paz, Ruben Urias, yang merupakan ahli Parti Tindakan Nasional (PAN) berhaluan konservatif.
Parti Movimiento Ciudadano turut mengeluarkan kenyataan mendesak pihak berkuasa negeri untuk mempertimbangkan kerja-kerja kewartawanan Villarreal sebagai “aspek utama dalam siasatan” kes pembunuhannya.
BACA: Pengguna Facebook Setuju Turunkan Hantaran Berkaitan Nabi, Buat Permohonan Maaf – JAKIM
Guanajuato dikenali sebagai hab perindustrian yang pesat membangun dan memiliki beberapa destinasi pelancongan popular.
Namun, ia juga dianggap sebagai negeri paling ganas di Mexico berdasarkan statistik rasmi kadar pembunuhan.
Keganasan di negeri ini dikaitkan dengan konflik berterusan antara kumpulan jenayah Santa Rosa de Lima dan kartel Jalisco New Generation, salah satu kartel dadah paling berkuasa di negara Amerika Latin itu.
Sejak kerajaan Mexico mengerahkan tentera untuk memerangi penyeludupan dadah pada 2006, lebih daripada 480,000 orang telah terbunuh akibat keganasan berkaitan dadah di seluruh negara, menurut angka rasmi.
BACA: Pelajar IPT Cedera Parah Ditikam Rakan Lelaki
Sumber: AFP via Barron’s