Shanda Hill, Atlet Wanita Pertama Tamatkan Ultra Deca Di Afrika Selatan
VERNON — Atlet Ultra Deca dari Vernon, Shanda Hill berjaya menamatkan perlumbaan pertama yang diadakan di South Africa Deca Ultra Triathlon pada Khamis lalu, lapor Yakon News
Difahamkan, Shanda telah berenang sejauh 38 kilometer (km), berbasikal 1,800 km dan berlari 422 kilometer dalam tempoh 279 jam 30 minit.
Meskipun bertanding dalam cuaca panas terik Afrika, namun ia tidak mematahkan semangatnya dalam menamatkan acara ini hingga ke garisan penamat.
Atlet dari Canada itu merupakan satu-satunya wanita yang berjaya menamatkan larian dalam acara sulung ini.

“Dia satu-satunya wanita yang menamatkan perlumbaan ini, menjadikannya juara dalam kategori wanita. Itu sangat bermakna,” ujar pasangannya, Jacs Spence di Facebook.
Shanda juga muncul sebagai pemenang tempat kedua secara keseluruhan dalam acara ini dan memberikan saingan sengit kepada para atlet lelaki lain.
Sementara itu, Shanda dalam satu muat naik di Facebook turut meluahkan kegembiraan dengan kejayaan yang dikecapinya.
Dia menzahirkan rasa bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak kepadanya sekaligus sebagai pembakar semangat sepanjang perlumbaan itu.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dari awal. Sokongan anda lebih bermakna daripada yang anda bayangkan,” katanya.
Difahamkan, Ultra Deca berlangsung di benua Afrika Selatan selama 22 hari berturut-turut, bermula dari 7 Mac sehingga 23 Mac ini.
Shanda dijadualkan terbang ke Brazil untuk Ultra Tri di Rio de Janeiro, yang bermula pada 1 Mei nanti.
https://www.facebook.com/ShandaHillUltraAthlete/videos/1440954240216431
Apa itu Ultra Deca?
Untuk makluman, Ultra Deca merujuk kepada perlumbaan triathlon ultra jarak jauh yang merangkumi 10 kali jarak Ironman.
Perlumbaan ini dianggap antara cabaran fizikal dan mental paling ekstrem dalam dunia sukan ketahanan dan ia mempunyai dua format larian iaitu Classic Deca dan Continuous Deca.
Sumber: Yukon News