Harimau Malaya ‘Benam’ Nepal
Harimau Malaya langkah kanan apabila berjaya membenam Nepal 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F, pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.
Skuad kendalian Peter Cklamovski berjaya membuka tirai jaringan seawal separuh masa pertama menerusi pemain naturalisasi baharu, Hector Hevel.
Dalam penampilan sulungnya bersama Harimau Malaya, Hevel mencuri tumpuan apabila meledak gol pertama malam ini, membuktikan keupayaannya sebagai ‘senjata’ baharu Harimau Malaya.
Memasuki babak kedua, Malaysia hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Dion Cools pada minit ke-56, namun sepakannya sedikit tersasar.
Begitupun, usaha berterusan skuad negara akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-70 apabila gerakan lincah Arif Aiman dinoktahkan oleh Corbin Ong, sekali gus memastikan Harimau Malaya selesa mendahului 2-0.
https://www.facebook.com/share/p/18adTYtL5i/
Turut mencuri perhatian adalah Faisal Halim, yang kembali bersama skuad kebangsaan selepas berehat panjang sejak aksi terakhir menentang Oman pada 26 Mac 2024.
Faisal dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 menggantikan Dion Cools.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus meletakkan Malaysia di tangga kedua Kumpulan F dengan tiga mata selepas satu perlawanan.
Untuk info, Harimau Malaya bakal beraksi menentang Vietnam pada 10 Jun nanti.
BACA: Legenda Bola Sepak Rahim Abdullah Meninggal Dunia
BACA: Atlet Sakit Jantung Di Atas Padang, Kini Bertarung Nyawa
BACA: Tang Jie-Ee Wei Direhatkan Sementara Waktu – Nova Widianto
Sumber: Stadium Astro