ASB 2 Agih Dividen 5.50 Sen, ASM 5.00 Sen
Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dua dana utamanya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.
Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) akan mengagihkan 5.50 sen seunit kepada 614,309 pemegang unit. Bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) pula, 5.00 sen seunit bakal diagihkan kepada 740,513 pemegang unit. Pengagihan ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.25 sen seunit berbanding tahun lalu.
“Sehingga 20 Mac 2025, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.80 bilion, manakala ASM mencatatkan RM1.55 bilion,” ujar PNB menerusi kenyataan tersebut.
Biarpun menghadapi persekitaran pasaran modal global yang mencabar, kedua-dua dana ini menunjukkan peningkatan progresif sepanjang tiga tahun lalu. Perkara ini mencerminkan komitmen PNB dalam meningkatkan pulangan yang kompetitif kepada pelabur.
“Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.50% dan 5.00%, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.56% sebanyak 294 mata asas untuk ASB 2 dan 244 mata asas untuk ASM,” maklum syarikat itu
Dalam kenyataan yang sama, kekuatan prestasi kedua-dua dana harga tetap ini didorong oleh pulangan ekutiti domestik dan global yang memberangsangkan. Tambahan pula, ia disokong oleh strategi kepelbagaian aset merentasi pelbagai geografi dan kelas aset.
“Melangkah ke hadapan, PNB akan terus memperluaskan kepelbagaian aset, terutamanya dalam pendapatan tetap, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan konsisten,” katanya lagi.
Sementara itu, ASNB turut menyertakan pengiraan pengagihan pendapatan dan penangguhan urus niaga dana menerusi kenyataan tersebut.
“Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana. Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2025,” maklum PNB.
Pihak ASNB turut menasihatkan pemegang unit melakukan transaksi menerusi portal myASNB (http://www.myasnb.com.my/) atau aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2025. Hal ini berikutan penangguhan sementara urus niaga ASB 2 dan ASM di cawangan dan ejen ASNB bermula 28 hingga 31 Mac 2025. Penangguhan ini turut melibatkan saluran dalam talian dan perbankan internet bagi memudahkan urusan pengagihan pendapatan.
BACA: Dividen LTAT 5.25 Peratus Libatkan RM515.20 Juta, Tertinggi Dalam Tempoh Tujuh Tahun
BACA: Rakyat Malaysia Berbelanja Lebih Bijak untuk Raya 2025, Utamakan Bajet & Kepercayaan Pembelian
Sumber: Permodalan Nasional Berhad (PNB)