Amaran Hujan Lebat Di 9 Negeri, 1 Wilayah Malam Ini
Sebanyak sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan diramal bakal dilanda hujan lebat dan ribut petir sehingga jam 9 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di laman media sosial miliknya memaklumkan hujan lebat akan berlaku di seluruh Kuala Lumpur.
Di Kedah, keadaan cuaca itu melibatkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Baling. Manakala Perak pula di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Muallim.
Beralih ke Kelantan, hujan lebat dijangka berlaku di daerah Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang. Di Terengganu pula melibatkan daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
BACA: Bangunan Dalam Pembinaan Di Thailand Runtuh Akibat Gempa
Selain itu, hujan lebat juga melanda daerah Lipis, Raub, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang. Keadaan cuaca itu juga melibatkan Hulu Selangor, Gombak dan Petaling di Selangor.
Di Johor, daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi juga dilanda hujan lebat dan ribut petir.
Negeri Sarawak pula hanya melibatkan daerah Sibu (Sibu dan Selangau), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu dan Limbang. Manakala di Sabah, ia melibatkan Pedalaman (Sipitang, Nabawan dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) dan Sandakan (Telupid dan Beluran.
BACA JUGA: Gempa Bumi Kuat 7.4M Landa Myanmar, Gegaran Turut Dirasai Di Semenanjung
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.