Penyanyi Legenda Indonesia, Titiek Puspa Meninggal Dunia
Penyanyi legenda Indonesia, Titiek Puspa dilapor meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Menurut Astro Awani, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Medistra Jakarta selepas menjalani prosedur pembedahan berikutan pendarahan otak kira-kira jam 4.25 petang (waktu tempatan) pada Khamis.
Berita pemergian arwah turut disahkan oleh penyanyi terkemuka, Krisdayanti.
“Ya, benar, Ibu Titiek baru sahaja menutup usia, di sebuah hospital di Jakarta. Saya kini dalam perjalanan mahu menziarahi Allahyarhamah,” maklum penyanyi itu sewaktu dihubungi wartawan Astro Awani.
Difahamkan, Allahyarhamah telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami komplikasi akibat pembuluh darahnya pecah pada Mac lalu.
Walaupun pembedahan itu berjaya, namun keadaan kesihatan arwah Titiek yang masih belum stabil menyebabkan beliau terus menerima rawatan di hospital.
Dua lagu Allahyarhamah dipilih sebagai lagu Indonesia terbaik
Sebelum ini, pemilik kepada nama sebenar Sudarwati itu sangat terkenal sebagai pelakon sinetron dan filem seperti Minah Gadis Dusun (1965), Di Balik Cahaya Gemerlapan (1976), Karminem (1977), Rojali dan Juhela (1980) dan Koboi Sutra Ungu (1982).
Antara lagu yang pernah dirakamkan arwah semasa di zaman kegemilangannya ialah Kupu-Kupu Malam dan Bing, di mana telah dipilih sebagai lagu Indonesia terbaik sepanjang zaman oleh Rolling Stone Indonesia pada 2009.
Menurut Astro Awani, antara album yang pernah dihasilkan arwah Titiek termasuklah Kisah Hidup (1963), Mama (1964), Kupu-Kupu Malam (1977), Apanya Dong (1982), Horas Kasih (1983) dan Virus Cinta (1997).
BACA: Polis Johor Terima Laporan Kes Gaduh Di Laluan Masuk BSI
BACA: Lobi PPR Sungai Bonus Jadi Perhatian, Penduduk “Makeover” Macam Hotel Mewah
Sumber: Astro Awani