Siakap Keli
Industri

Jarang Dikenali, Ini ‘Watak’ Penting Sesebuah Industri, Jaga Nyawa Puluhan Ribu Pekerja

Jarang Dikenali, Ini ‘Watak’ Penting Sesebuah Industri, Jaga Nyawa Puluhan Ribu Pekerja

Kerja dalam sektor perkilangan kini semakin menjadi pilihan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda kerana menawarkan pendapatan yang stabil. Namun, di sebalik rutin harian pekerja industri, wujud ancaman tersembunyi kepada mereka seperti pendedahan kepada sinaran dari mesin atau bahan tertentu yang mungkin mengancam keselamatan.

Namun, siapakah yang akan menjaga keselamatan dan nyawa semua pekerja di dalam industri ini? Adakah pengawal keselamatan, ataupun penyelia di setiap bahagian? Di sinilah min nak kenalkan pada korang mengenai satu ‘watak’ terpenting di dalam industri seperti sektor perkilangan yang secara ‘diam-diam’ menjaga nyawa dan keselamatan puluhan ribu pekerja.

Bukan calang-calang orangnya, ‘Hero’ di belakang tabir ini sebenarnya bergelar Pegawai Perlindungan Sinaran (Radiation Protection Officer, RPO). Namun, bagaimana mereka ini melindungi puluhan ribu pekerja di sesebuah kilang ataupun mana-mana industri yang mempunyai bahaya dedahan sinaran dari mesin atau bahan tertentu. Jom min bawa korang kenal dulu siapa dia RPO.

Siapa Itu RPO?

Pegawai Perlindungan Sinaran atau Radiation Protection Officer (RPO) ialah individu yang diiktiraf dari segi teknikal yang dilantik oleh pemegang lesen dan diluluskan oleh Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) untuk mematuhi Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dan pemakaian terhadap peraturan-peraturan dibawahnya, langkah dan sistem perlindungan sinaran yang bersesuaian.

Dalam bidang industri di Malaysia, seramai 25,737 pekerja sinaran adalah di bawah seliaan 1358 RPO. Mereka bertanggung jawab mengawasi risiko bahaya sinaran di tempat kerja, terutama dalam sektor yang menggunakan mesin yang mengeluarkan sinaran dan bahan radioaktif seperti industri perkilangan, pembinaan, perubatan dan sebagainya. Walaupun kurang dikenali, peranan mereka sangat penting untuk melindungi nyawa pekerja dan memastikan keselamatan tempat kerja.

Bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai RPO, pihak SK telah menemu ramah dua orang individu yang mempunyai pengalaman berkaitan dengan RPO iaitu Ts. Dr. Husaini bin Salleh (Pengarah Bahagian Keselamatan & Kesihatan Sinaran di Agensi Nuklear Malaysia juga Pengerusi MARPA) dan En Azhar bin Mohd (Director/Product Manager di Altec Industrial & Engineering Supply Sdn Bhd).

Tunggu apa lagi? Jom kita ketahui dengan lebih jelas mengenai peranan RPO.

Apa Risiko Jika Tiada RPO?

Tanpa kehadiran RPO, pekerja mungkin terdedah kepada sinaran berbahaya yang boleh menyebabkan kesan kesihatan jangka panjang seperti kanser, kerosakan organ dalaman, dan mutasi genetik. Seperti yang dikongsi oleh En. Azhar, “RPO memikul tanggungjawab penuh terhadap keselamatan radiasi. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan semua prosedur keselamatan diikuti dan untuk bertindak balas sekiranya berlaku kemalangan. Walaupun waktu kerja biasa adalah 8 jam, tanggungjawab RPO adalah 24 jam.”

‘Watak’ Penting
Gambar: Jabatan Tenaga Atom; sesi pemeriksaan sedang dilakukan bagi memastikan keselamatan dan perlindungan terhadap bahan radioaktif di sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti radiografi industri.

Tanpa kehadiran RPO, pekerja industri yang terdedah kepada sinaran berpotensi menghadapi risiko seperti:

  • Kesan Kesihatan: Pendedahan berlebihan boleh membawa masalah kesihatan jangka panjang seperti kerosakan organ dan kanser.
  • Insiden Tidak Terkawal: Kebocoran atau kehilangan bahan radioaktif boleh berlaku tanpa pemantauan yang ketat.
  • Ketidaksedaran Pekerja: Tiada latihan khusus menyebabkan pekerja tidak tahu cara mengawal risiko sinaran.

Kalau kita lihat peranan mereka ini sangat penting. Menurut Ts. Dr. Husaini, RPO perlu memastikan semua prosedur, langkah-langkah keselamatan dan perlindungan sinaran dilaksanakan. “Ini termasuk mematuhi semua syarat yang ada dalam lesen yang dikeluarkan. Kalau tak patuh, tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya.

Tugas-Tugas Seorang RPO

Menerusi temubual bersama Ts. Dr. Husaini dan En Azhar, ada beberapa tugas RPO yang boleh kami simpulkan iaitu:

  • Pantau Sinaran
    RPO menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan mesin dan bahan sinaran berada pada tahap yang selamat. Mereka juga menyediakan program perancangan dan kesediaan kecemasan.
  • Latihan Keselamatan
    RPO mengadakan latihan khusus untuk pekerja agar memahami langkah-langkah perlindungan sinaran.
  • Rekod dan Laporan
    Semua rekod dos radiasi, rekod perubatan, dan aktiviti berkaitan sinaran direkodkan untuk pematuhan undang-undang.
  • Tindakan Kecemasan
    Dalam insiden kebocoran sinaran, RPO bertindak pantas untuk melindungi pekerja dan mencegah kerosakan yang lebih besar.

Kalau ada kes berkaitan radiasi yang sukar diatasi, macam mana pula? Kata Ts. Dr. Husaini, jika ada kes di luar kawalan dalaman, barulah mereka akan libatkan Jabatan Tenaga Atom sebagai badan kawal selia tenaga atom di Malaysia dan jika situasi berubah menjadi bencana maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terlibat. Jelas beliau lagi, biasanya kes-kes berlaku macam ni adalah tahap satu, yang masih boleh dikawal dalam fasiliti sendiri. Melalui kes-kes seperti inilah kita boleh nampak di mana peranan RPO ini amat penting. 

Mengapa Peranan Mereka Penting?

RPO memastikan keseimbangan antara penggunaan teknologi sinaran dan keselamatan manusia serta alam sekitar. Mereka memainkan peranan utama dalam membentuk persekitaran kerja yang lebih selamat. Persepsi negatif terhadap sinaran sering menyebabkan ketakutan dalam kalangan masyarakat, tetapi dengan langkah pemantauan RPO, risiko ini dapat dikurangkan.

Seperti yang dijelaskan oleh Ts. Dr. Husaini Salleh, “Keseimbangan ini penting kerana manfaat teknologi sinaran hanya boleh dinikmati dengan pengurusan risiko yang cekap.”

Bagaimana Nak Jadi RPO?

Untuk menjadi RPO di Malaysia, seseorang perlu:

  • Lulus peperiksaan RPO seperti yang ditetapkan oleh Atom Malaysia (rujuk LEM/TEK/44 Semakan 7).
  • Menghadiri Kursus Perlindungan Sinaran yang diiktiraf oleh Atom Malaysia
Industri
Gambar: Jabatan Tenaga Atom; sesi Peperiksaan Persijilan Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) yang diadakan pada tahun 2022

Kata Ts. Dr. Husaini dan En. Azhar, jika dulu kelayakan minimum hanyalah SPM sahaja. Tetapi sekarang, minimum kelayakan adalah diploma dalam bidang sains berkaitan. Walaubagaimanapun, Atom Malaysia telah menambahbaik sistem pensijilan tersebut dengan membuka skop yang lebih luas dan tidak menghadkan kelayakan minimum calon dalam bidang sains sahaja, malah memberi peluang kepada semua yang berminat untuk menceburi bidang berkaitan sinaran.

Berkenaan dengan gaji pula, En. Azhar ada mengatakan bahawa gaji RPO adalah berbeza-beza. “Biasanya dalam lingkungan RM5,000 atau lebih, bergantung pada pengalaman dan syarikat. RPO yang bertindak sebagai perunding juga boleh mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi,” kata beliau.

Industri
Gambar: Universiti Malaysia Kelantan; Lawatan oleh Atom Malaysia untuk melakukan pemeriksaan berkala terhadap radas penyinaran mesin XRD dan XRF yang dilesenkan di bawah FBKT, UMK.

Menurut Ts. Dr. Husaini, permintaan terhadap RPO semakin meningkat, terutama dalam industri perubatan dan pembinaan. Menariknya, MARPA (Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia) juga menyediakan sokongan profesional melalui pendidikan dan penyelidikan dalam bidang perlindungan sinaran. 

Sokongan Profesional untuk RPO?

MARPA ditubuhkan pada 15 September 2002 sebagai platform profesional bagi Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO) dan individu berkaitan. MARPA berfungsi untuk menghubungkan ahli, berkongsi pengetahuan, dan memberi kemas kini terkini tentang perkembangan dalam perlindungan sinaran melalui webinar, pertemuan, dan program pendidikan. Selain itu, MARPA memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan sinaran serta membetulkan persepsi salah tentang risiko sinaran.

Kita ambil maklum, walaupun kerjaya sebagai RPO jarang dikenali umum, ia membawa tanggung jawab besar dalam melindungi nyawa pekerja, orang awam, dan alam sekitar. Kerjaya ini bukan sahaja penting, tetapi juga memberikan peluang untuk berkembang dalam industri yang berkaitan dengan teknologi sinaran.

Jika anda atau kenalan berminat, ini adalah kerjaya yang berbaloi untuk diterokai. Hargailah peranan ‘hero’ di sebalik tabir ini yang memastikan kita semua selamat dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks.

Untuk maklumat lanjut tentang RPO, layari laman web dan Facebook rasmi Atom Malaysia

Adib Mohd

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: