Kes Culik Di Negeri Sembilan: Mangsa Disorok Dalam Bagasi
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan bahawa mangsa culik di Seremban, Negeri Sembilan telah disorokkan dalam bagasi sebelum dilarikan.
Beliau berkata mangsa berusia 16 tahun itu diculik ketika berjalan seorang diri ke kedai serbaneka di Uptown Avenue, Seremban 2 pada 10 April, dan disorokkan dalam bagasi bagi mengelakkan dikesan.
“Mangsa bersama ibunya sebelum itu telah pergi ke sebuah salun di kawasan sama. Dalam perjalanan ke kedai serbaneka, mangsa telah diculik dua orang lelaki dan dimasukkan ke dalam kenderaan sebelum melarikan diri.
“Ibu mangsa seterusnya telah menghubungi bapanya (datuk mangsa) yang kemudiannya membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata ibu mangsa kemudian menerima panggilan daripada penjenayah yang menuntut wang tebusan RM2 juta dan telah membayar RM280,000 serta menyerahkan beberapa barang emas pada 11 April.
BACA: Asian EV Motion 2025: Era Baharu Mobiliti Mampan Dirasmi Di Johor, Malaysia
Beliau berkata selain enam suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun itu, polis turut memperoleh semula wang tebusan RM180,000.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa telefon bimbit dan pengesan logam dipercayai digunakan penjenayah untuk mengesan beg yang digunakan untuk membayar tebusan dipasang alat pengesan.
Mohd Shuhaily berkata siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 setakat ini mendapati kes penculikan dipercayai didalangi seorang wanita daripada enam suspek berkenaan dan giat memburu seorang lagi suspek lelaki.
Semalam, seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes culik membabitkan remaja berusia 16 tahun itu maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
BACA: Selamat Disemadikan, Ribuan Iringi Jenazah Tun Abdullah
BACA: UITM Perjelas Pelajar Berpakaian Seperti Kumpulan Pelampau Untuk Tujuan Tugasan Akademik
Sumber: BERNAMA