Perlis Hasrat Tingkat Promosi Pelancongan Kepada Jepun
KANGAR, 18 April (Bernama) — Perlis berhasrat mempromosikan produk pelancongan negeri itu dengan lebih meluas kepada Jepun sebagai usaha menarik kehadiran pelancong dari negara berkenaan, kata Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Beliau berkata kerajaan negeri mendapati kebanyakan rakyat negara matahari terbit itu tidak mengenali Perlis dan mereka kebiasaannya lebih mengetahui tentang Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Jadi kita cuba nak jual produk pelancongan kita, perkenalkan kepada rakyat Jepun. Kita mungkin boleh bekerjasama dengan pelajar anak negeri ini yang belajar di Jepun untuk mereka perkenalkan Perlis kepada rakyat Jepun,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Machida Shinya di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata Machida menyatakan kunjungan beliau hari ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan Perlis dalam kalangan rakyat Jepun.
Dari segi pelaburan pula, beliau berkata Machida mahu membantu memperkenalkan Perlis kepada pelabur Jepun yang berminat melabur di negeri ini.
Beliau berkata setakat ini terdapat dua syarikat dari Jepun melabur di negeri ini.
BACA: Ramai Puji Kreativiti Surau Ini Sediakan Tabung Infak “Rare”
BACA: Isu Berat Tapi Mudah Faham, Ini Penjelasan Paling Senang Nak Hadam Isu Tarif AS
BACA: Tak Sangka, Suhu Kilat 5 Kali Ganda Lebih Panas Dari Permukaan Matahari
Sumber: Bernama