Unik, Restoran Di China Hidang Najis Gajah Sebagai Pencuci Mulut
Sebuah restoran mewah di Shanghai, China telah menarik perhatian ramai apabila memperkenalkan pencuci mulut yang menggunakan najis gajah yang telah diproses sebagai bahan utama.
Menurut South China Morning Post, seorang “blogger” makanan tempatan telah berkongsi sebuah video mengenai pengalamannya menjamu selera yang memaparkan hidangan luar biasa di restoran tersebut.
Dalam masa sama, restoran tersebut turut terkenal dengan masakan mesra alam, di mana menyajikan pelbagai hidangan inovatif termasuk daun pokok, kiub ais bersalut madu dan pencuci mulut yang dihasilkan secara kreatif daripada najis gajah.
Para pelanggan dikenakan bayaran sebanyak 3,888 yuan (kira-kira RM2,331) untuk hidangan mewah bertemakan hutan hujan yang terdiri daripada 15 sajian, tidak termasuk minuman.
Salah satu hidangan yang dinamakan “Bunga Disisipkan ke dalam Najis Gajah” ini disediakan dengan najis gajah yang telah disteril dan dikeringkan.
Ia juga dihidangkan dalam bentuk seperti serbuk rangup dan dihias dengan jem buah, debunga, sorbet madu serta minyak wangi herba.
Hidangan tersebut cetus perdebatan hangat
SCMP melaporkan pengunjung turut dijemput untuk memilih sendiri bahan perisa seperti jem dan minyak wangi sebelum menikmatinya.
Meskipun bahan tersebut telah diproses dan dibersihkan, ia menimbulkan persoalan sama ada hidangan itu memenuhi piawaian keselamatan makanan di bawah Undang-Undang Kebersihan Makanan China yang menetapkan makanan mestilah tidak toksik dan selamat untuk dimakan.
Dua pengasas hidangan ini yang berasal dari China dan Perancis telah menjalankan penyelidikan selama tujuh tahun di hutan hujan wilayah Yunnan sebelum membawa ciptaan mereka ke Shanghai.
Menurut SCMP, najis gajah dipilih kerana kandungan serat tumbuhannya yang tinggi dan digunakan untuk menampilkan rasa dan tekstur semula jadi yang menggambarkan pengalaman hutan hujan sebenar.
Menu luar biasa ini turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya, sekaligus mempertikaikan keselamatan dan kewajaran penggunaannya dalam makanan.
BACA: Kereta Kabel Jatuh Dalam Gaung, 4 Disahkan Maut
BACA: Ramai Puji Kreativiti Surau Ini Sediakan Tabung Infak “Rare”
Sumber: South China Morning Post