Kerajaan Indonesia Dakwa Tarif AS Bagi Produk “Buatan Indonesia” Bukan 32 Peratus
Kerajaan Indonesia mendakwa bahawa produk keluaran Indonesia dilaporkan boleh dikenakan tarif import setinggi 47 peratus apabila memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS). Kadar ini jauh lebih tinggi berbanding angka awal 32 peratus yang diumumkan sebelum ini.
Pendedahan tersebut dibuat oleh Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, yang mengetuai delegasi negara itu dalam rundingan bersama kerajaan AS mengenai isu tarif perdagangan.
Menurut Airlangga, walaupun Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengumumkan tarif resiprokal sebanyak 32 peratus ke atas produk Indonesia, hakikatnya situasi itu lebih rumit. Terdapat pelbagai kadar tarif tambahan lain yang turut dikenakan oleh AS.
Sebagai contoh, barangan tekstil dan pakaian siap dari Indonesia dikenakan tarif proteksionis antara 10 peratus hingga 37 peratus, bergantung kepada jenis produk.
Ini bermakna, jika digabungkan dengan tarif umum sedia ada, jumlah keseluruhan tarif yang perlu dibayar untuk memasuki pasaran AS boleh mencecah antara 20 peratus hingga 47 peratus.
“Walaupun sekarang tarif 10 peratus diberikan untuk tempoh sementara selama 90 hari, dalam sektor tekstil dan garmen, tarif sedia ada adalah antara 10 peratus hingga 37 peratus.
“Jadi, jika ditambah lagi 10 peratus, jumlah keseluruhan boleh menjadi 20 peratus hingga 47 peratus. Ini sangat membimbangkan kerana kos eksport semakin tinggi,” jelas Airlangga dalam satu sidang media maya pada Jumaat lalu.
BACA: China Lancar Enam Satelit Ujian Ke Angkasa
Tambah beliau lagi, kos tambahan ini akhirnya terpaksa ditanggung bersama oleh pengguna di AS serta pengeluar di Indonesia.
Selain itu, ia sekali gus menjejaskan daya saing produk negara itu di peringkat global.
Airlangga turut menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakseimbangan tarif yang dikenakan oleh AS terhadap Indonesia.
Beliau menjelaskan bahawa kadar tarif tersebut lebih tinggi berbanding negara pesaing lain, terutama dari rantau ASEAN dan Asia.
“Kami ingin menegaskan bahawa struktur tarif sedia ada yang dikenakan oleh AS terhadap Indonesia tidak seimbang. Negara pesaing kami di ASEAN menerima kadar tarif yang lebih rendah. Kami mahukan keadilan dan peluang yang sama rata dalam pasaran antarabangsa,” tegas beliau.
BACA: Teleskop James Webb Kesan Kewujudan Hidupan Di Planet Selain Bumi
BACA: 148 Maut Dalam Kemalangan Bot Di Sungai DR Congo
Sumber: Detik