Kajian Penyelidik Temui Mikroplastik Dalam Ovari Wanita
Para penyelidik telah mengesan kewujudan mikroplastik dalam cecair folikel ovari wanita buat pertama kali dalam sejarah perubatan, lapor The Guardian.
Difahamkan, penemuan ini turut menimbulkan kebimbangan baharu terhadap kesan pencemaran bahan toksik ini terhadap kesuburan dan kesihatan reproduktif wanita.
Kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Ecotoxicology and Environmental Safety mendedahkan 18 wanita yang menjalani rawatan kesuburan di sebuah klinik di Salerno, Itali mendapati mikroplastik wujud dalam cecair folikel bagi 14 daripada mereka.
Menurut The Guardian, cecair folikel memiliki nutrien penting dan isyarat biokimia kepada telur yang sedang berkembang.
Penyelidik turut menjelaskan kehadiran zarah plastik dalam cecair ini berpotensi memberi kesan terhadap kesuburan, keseimbangan hormon dan kesihatan sistem pembiakan secara keseluruhan.
Mikroplastik telah dikesan di pelbagai lokasi
“Penemuan ini merupakan satu langkah penting dalam memahami bagaimana dan mengapa mikroplastik boleh menjejaskan kesihatan reproduktif wanita.
“Ia turut menjadi isyarat amaran tentang ‘pencerobohan’ dalam sistem reproduktif wanita,” kata pengkaji utama dari Universiti Rome, Profesor Lugi Montano.
The Guardian melaporkan mikroplastik sebelum ini dikesan di pelbagai lokasi ekstrem dunia dari puncak Gunung Everest hinggalah ke dasar Palung Mariana.
Dalam pada itu, makanan dianggap sebagai laluan pendedahan utama di mana terdapat kajian mendapati ia terdapat dalam semua jenis daging dan produk pembuatan.
Mikroplastik amat berbahaya kerana ia membawa lebih 16,000 bahan kimia plastik, termasuk sebatian toksik seperti perfluoroalkyl substances (Pfas), bisfenol dan ftalat.
Di samping itu, bahan-bahan kimia ini boleh menyebabkan kanser, gangguan hormon, toksik pada sistem saraf dan mengganggu perkembangan janin. Malah, mikroplastik dalam tubuh manusia mampu menembusi bahagian otak dan plasenta.
Profesor Lugi Montano memberitahu bahawa mikroplastik turut dikesan dalam air kencing dan air mani manusia dan beliau mendakwa bahan ini menyumbang kepada penurunan jumlah serta kualiti sperma secara keseluruhan.
“Kami telah membuktikan penurunan kadar ini, terutamanya di kawasan yang terjejas teruk disebabkan pencemaran.” kata beliau lagi.
BACA: Guna “Aircond” Semalaman Boleh Jejas Kesihatan, Ini Penjelasan Doktor
Sumber: The Guardian