Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Individu Tertua Di Jepun Meninggal Dunia Pada Usia 115 Tahun

Iqbal Yasir
individu tertua meninggal dunia
Gambar: Kyodo News

Individu Tertua Di Jepun Meninggal Dunia Pada Usia 115 Tahun

GIFU — Okagi Hayashi, wanita berusia 115 tahun yang diiktiraf sebagai individu tertua di Jepun, dilapor meninggal dunia pada hujung minggu akibat kegagalan jantung, menurut Kementerian Kesihatan pada Isnin.

Hayashi, yang dilahirkan pada 2 September 1909, menghembuskan nafas terakhir pada pagi Sabtu di sebuah hospital di kampung halamannya di Toki, Wilayah Gifu.

Beliau menjadi individu tertua di negara itu pada Disember lalu selepas kematian Tomiko Itooka, yang hidup sehingga usia 116 tahun dan pernah diiktiraf sebagai individu tertua di dunia.

Susulan kematian Hayashi, gelaran individu tertua di Jepun kini disandang oleh Mine Kondo, 114, yang menetap di Kota, Wilayah Aichi.

Lelaki Tertua Meninggal Dunia

Terdahulu, lelaki tertua di dunia, John Tinniswood dilaporkan meninggal dunia pada usia 112 tahun.

Menurut hantaran Guinness World Records (GWR), John yang juga pemegang rekod lelaki tertua dunia itu meninggal dunia di sebuah rumah jagaan di Southport, England semalam.

“John memiliki banyak sifat yang baik. Dia bijak, tegas, berani, tenang dalam apa jua keadaan, berbakat dalam matematik dan seorang yang hebat dalam berbual,” kata keluarganya kepada Guinness World Records.

Dilahirkan pada 26 Ogos 1912 di Liverpool, mendiang telah memegang rekod sebagai lelaki tertua di dunia sejak April 2024, selepas kematian Juan Vicente Pérez, 114 tahun dari Venezuela.

John telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1942 bersama isterinya, Blodwen dan dikurniakan seorang anak perempuannya, Susan bersama empat cucu dan tiga cicit.

Bagaimanapun, pada tahun 1986, isterinya telah meninggal dunia.

Menariknya tentang John, dia menerima kad ucapan hari lahir setiap tahun daripada mendiang Ratu Elizabeth dari usianya 100 hingga 110 tahun, sebelum Ratu Elizabeth mangkat pada tahun 2022.

Sumber: Kyodo News

BACA: Wanita Tertua Jepun, Fusa Tatsumi Meninggal Dunia Pada Usia 116 Tahun

BACA: Lelaki Tertua Di Dunia Meninggal Dunia Pada Usia 112 Tahun